"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno Kedah tunggu permohonan maaf dari PAS

Malaysiakini

PAS mungkin menganggap tiada lagi isu yang timbul berhubung jemputan yang didakwa mereka dihantar kepada Umno untuk menghadiri muktamar di Kota Sarang Semut, Alor Setar, pada akhir minggu lalu.

Namun berbeza keadaannya di pihak Umno.

Pengarah Komunikasi BN Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin, berkata dakwaan yang dibuat PAS mengenai jemputan tersebut adalah serius dan mereka tidak menganggapnya remeh sehingga tidak perlu diperbesarkan.

Katanya Umno Kedah memang konsisten menafikan mereka ada menerima jemputan daripada PAS untuk menghantar wakil bagi menghadiri majlis perasmian muktamar terebut.

Menurut Shaiful Hazizy, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, jelas menyebut jemputan berkenaan memang dibuat secara fizikal kepada Badan Perhubungan Umno Kedah namun mendakwa, keadaan sebenar adalah sebaliknya.

“Saya sentiasa konsisten bahawa tiada sebarang jemputan, dalam sebarang medium, untuk Perhubungan Umno Kedah seperti yang didakwa Setiausaha Agung PAS,” katanya yang dipetik Umno Online hari ini.

Pada Jumaat lalu, Takiyuddin memberitahu media, PAS sudah menghantar jemputan kepada Umno bagi menghadiri perasmian Muktamar PAS ke-68 yang berlangsung selama dua hari.

Bagaimanapun, tiada seorang pun wakil parti terbabit hadir di sebalik hubungan Umno-PAS yang dimeterai melalui Muafakat Nasional pada 2019.

Berkata benar walaupun pahit

Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya, semalam mendakwa dia menghantar jemputan tersebut kepada satu-satunya Adun Umno dalam exco negeri itu, Suraya Yaakob.

Menceritakan peristiwa itu Zulkifli menulis: "Dato' mai nuu (datang ya). Dato' (Suraya) cuma ghenyeh (tersengih) apa pun tak jawab," katanya.

Suraya pula menuduh PAS memutar belit isu berkenaan dan menyalahkan Umno.

Bagaimanapun, Suraya yang juga ketua Umno Pendang berkata, jemputan yang diterimanya hanyalah atas kapasiti exco kerajaan negeri dan langsung tidak melibatkan kapasiti kepimpinan Umno.

Shaiful Hazizy berkata Umno Kedah menuntut PAS membuat permohonan maaf atas dakwaan yang dibuat pada minggu lalu.

“Bagi saya ini soal reputasi dan prinsip. Sebagai sebuah parti yang mengaku bertunjangkan Islam, ‘penipuan’ adalah sesuatu yang tidak sepatutnya diterima.

"Pesanan saya kepada Setiausaha Agung PAS, bercakap benarlah walaupun pahit,” katanya.

Tiada ulasan: