"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kes bunuh diri meningkat 81% tahun lalu

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kes bunuh diri di negara ini meningkat 81% dengan 1,142 kes dilaporkan berdasarkan rekod polis tahun lalu berbanding 631 kes pada 2020 selain 467 kes dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus komited mendidik dan melatih masyarakat berhubung masalah kesihatan mental, pencegahan tingkah laku bunuh diri serta menghapuskan stigma terhadap tingkah laku itu.

“Dengan usaha itu, kita berharap individu yang terkesan akan mendapat bantuan dan sokongan, seterusnya dapat menurunkan kadar kematian akibat bunuh diri.

“Faktor penyumbang tingkah laku bunuh diri ini adalah pelbagai dan kompleks, seperti isu psikososial dan persekitaran, isu kewangan merangkumi kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan, penyakit mental seperti kemurungan, kurang sokongan sosial dan penyalahgunaan substans,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia 2022, menurut Berita Harian.

Khairy berkata, tema tahun ini adalah “Let’s TALK Minda Sihat: Bertindak Segera, Harapan Terbina”, yang menumpukan pada peranan masyarakat untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dan membantu menambah baik kualiti hidup individu yang terkesan.

Katanya, data daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), melaporkan lebih daripada 703,000 kematian akibat bunuh diri dicatatkan setiap tahun di seluruh dunia, atau purata satu kematian bagi setiap 40 saat.

“Bunuh diri adalah satu daripada 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang berusia 15 tahun hingga 29 tahun.

“Bagi setiap nyawa yang terkorban, dianggarkan 135 ahli keluarga atau rakan akan terkesan serta mengalami impak secara emosi, sosial dan ekonomi.

“Tindakan segera secara bersama amat penting di setiap peringkat bagi menangani tingkah laku bunuh diri, membabitkan individu, keluarga, komuniti, pihak berkepentingan seperti pembuat dasar, ahli politik, semua agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Proaktif tangani bunuh diri

Khairy berkata, KKM proaktif menangani isu tingkah laku bunuh diri, melalui Pelaksanaan Usaha Dekriminalisasi Cubaan Bunuh Diri bagi menggalakkan mereka yang terkesan tampil mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, Khairy memaklumkan, KKM bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memperkasakan Program Minda Sihat Sekolah, yang mana antara lain merujuk pelajar yang dikenal pasti mengalami masalah kemurungan dan tingkah laku bunuh diri ke fasiliti kesihatan untuk rawatan.

Katanya, kempen advokasi Let’s TALK Minda Sihat turut dilaksanakan kepada kumpulan sasar, secara menyeluruh merentas agensi dan secara bersepadu, termasuk membabitkan media massa, media sosial dan pihak berkepentingan.

“KKM juga mengambil inisiatif untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) iaitu pusat yang menempatkan perkhidmatan Talian Bantuan Krisis Kesihatan Mental dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Katanya, selaras dengan Konsep Keluarga Malaysia, masyarakat boleh memainkan peranan dan mengambil tanggungjawab untuk mencegah tingkah laku bunuh diri dalam pelbagai cara.

“Ia termasuk dengan sentiasa mengambil berat dan bertanya khabar keluarga serta orang sekeliling terutama yang terkesan akibat situasi pandemik Covid-19.

“Selain itu, masyarakat perlu mengenal pasti tanda awal amaran tingkah laku bunuh diri seperti perubahan tingkah laku mendadak, hilang minat terhadap aktiviti yang biasa dilakukan dan mengasingkan diri daripada orang sekeliling.

“Masyarakat juga perlu menghapuskan stigma negatif terhadap keluarga serta individu dengan penyakit mental dan tidak menghakimi kejadian bunuh diri yang berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: