"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu pengampunan Najib, MP sanjung titah Yang di-Pertuan Agong

SURI LAILA

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hassanuddin Mohd Yunus menyanjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenang-wenangnya.

Ketika merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Pahang di Kuantan hari ini, baginda bertitah bahawa keadilan Islam sama sekali tidak memberi sebarang keistimewaan atau pengecualian kepada sesiapa yang melakukan kesalahan sama ada diri sendiri, teman rapat, ahli keluarga mahupun ibu dan bapa.

Justeru Hasanuddin meluahkan keyakinan, Baginda Yang di-Perrtuan Agong akan mempertahan prinsip ini dalam semua hal ketika membuat keputusan selaku Ketua Negara demi kepentingan rakyat dan negara ini.

“Ia juga termasuk ketika mempertimbangkan rayuan pengampunan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak yang dijatuhkan hukuman bersalah mencuri wang RM42 juta milik SRC International oleh sembilan hakim iaitu seorang hakim Mahkamah Tinggi, tiga hakim Mahkamah Rayuan dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Ampun Tuanku, patik semua rakyat berdoa agar Tuanku dikurniakan kesihatan yang baik dan dipermudahkan dalam segala urusan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, baginda Al Sultan bertitah bahawa kuasa menghukum dan memberi pengampunan tidak wajar digunakan sewenangnya kerana ianya bakal dipertanggungjawabkan kelak di hari kemudian.

Titah baginda, prinsip keadilan yang telus lagi terbuka telah berjaya membangunkan satu masyarakat yang adil, saksama, makmur dan sejahtera. Prinsip keadilan menurut Islam adalah menjunjung amanah Tuhan.

“Jika undang-undang tidak dilaksanakan secara konsisten dan adil nescaya keadilan tidak akan tercapai, kerana falsafah di sebalik penggubalan sesuatu undang-undang itu telah ternoda,” titah baginda dalam majlis itu.

Tiada ulasan: