"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polemik logo PN: PAS tidak yakin kekuatan Bersatu

Nora Mahpar dan Faiz Zainudin

PETALING JAYA: Desakan akar umbi PAS supaya logonya digunakan mewakili Perikatan Nasional (PN) di beberapa negeri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menunjukkan parti itu meragui kekuatan rakannya, Bersatu, kata penganalisis politik.

Menurut Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, penggunaan logo sebenarnya tidak memberi kesan besar kepada peratusan pengundi seperti berlaku pada pilihan raya negeri Melaka apabila PKR kalah besar meskipun menggunakan logonya sendiri dengan alasan ia telah dikenali pengundi.

“Dalam hal ini sebenarnya apa yang dipamerkan adalah rasa tidak puas hati PAS mengenai keyakinan mereka terhadap bantuan Bersatu yang tidak seberapa, ini yang timbulkan polemik penggunaan logo itu.

“Penggunaan logo (bulan) ini tafsiran lebih besar dalam PN iaitu tidak percaya dan yakin PAS terhadap Bersatu untuk bantu mereka,” katanya kepada FMT.

Bagaimanapun, katanya sekiranya PN bersetuju menggunakan lambang bulan di tiga negeri dikuasai PAS ketika ini, ia akan menimbulkan persepsi dalam kalangan pengundi.

“Pengundi mungkin persoal mengapa ada guna logo bulan di kawasan tertentu tetapi kawasan lain lambang biru PN,” katanya.

Pada Muktamar Tahunan PAS ke-68 berlangsung minggu lalu, perwakilan dari empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor mahu negeri itu dibenarkan menggunakan logo bulan untuk berdepan PRU15.

Malah, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Sanusi Md Nor mendakwa ramai pengundi dan penyokong parti itu alergi terhadap warna biru PN, yang disifatkan sebagai “bayang-bayang” kepada warna biru tua Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, tindakan memperbetulkan keadaan itu perlu diambil dengan kembali mempertimbangkan penggunaan logo bulan PAS pada PRU15 yang lebih “serasi” dengan pengundi parti itu khususnya di negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah, yang ditadbirnya.

Sementara itu, perwakilan dari Selangor ketika ditemui FMT sempena Muktamar PAS ke-68 di Kedah berharap pucuk pimpinan tidak membuat keputusan hanya berdasarkan sentimen ingin memuaskan hati rakan PN dalam membuat keputusan muktamad berhubung penggunaan logo.

Malik Marzuki menyuarakan kebimbangan itu kerana tidak mahu PAS dipergunakan demi kepentingan pihak lain yang mengakibatkan parti menanggung kerugian.

“Kena ingat PAS dari satu sudut telah berkorban dari gerak kerja jentera, PAS mempunyai akar umbi kuat untuk bekerja di bawah berbanding parti lain dalam PN.

“Jadi jangan pula sudahlah kita buat kerja di bawah, berkorban pula soal logo, tapi yang untung rakan kita sahaja,” katanya.

Perwakilan dari Kuala Kedah Riduan Othman pula berpendapat pengecualian untuk menggunakan logo bulan harus diberikan di negeri tertentu kerana ia sudah lama dikenali, bagaimanapun keadaan sebaliknya untuk logo PN.

Tiada ulasan: