"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hadi Awang dan Perlembagaan

Mohsin Abdullah

Artikel ini bukan mengenai Hadi Awang tidak berganjak dengan pendiriannya susulan keputusan Mahkamah Persekutuan yang membatalkan 16 peruntukan enakmen jenayah syariah Kelantan.

Bukan juga mengenai Hadi memberi alasan mengapa beliau tidak berganjak daripada pendiriannya yakni memberi peringatan kepada umat Islam termasuk raja-raja menjaga akidah masing-masing, “berwawasan akhirat dengan bijaksana memandang ke akhirat bukan memandang kepentingan dunia di sini sahaja.” Tidak bercadang saya persoal itu semua.

Yang ingin saya ketengahkan ialah kritikan keras presiden PAS itu berkait Perlembagaan. Menurut hantaran di Facebook Hadi menegaskan Perlembagaan telah digubal oleh penjajah. Ini bukan perkara baharu kerana beliau sudah beberapa kali mendakwa sedemikian sebelum ini.

Cuma kali ini ada tambahan yakni “perlembangaan digubal penjajah yang merancang kemerdekaan yang menipu umat Islam dengan tujuan tidak mahu sekali-kali memberi kuasa kepada Islam.”

Adakah ini bermakna Hadi menyifatkan kemerdekaan negara pada 1957 adalah satu penipuan penjajah untuk tidak beri kuasa kepada Islam? Dan bapa kemerdekaan Tunku Abdul Rahman beserta pejuang kemerdekaan yang lain telah ditipu oleh penjajah?

Kata Hadi lagi “kita telah diperangkap oleh penjajah (bukan Islam) supaya terpengaruh dengan nasihat mereka yang sesat daripada petunjuk Allah.” Mengulas lanjut Hadi berkata Perlembagaan “tersurat dengan perkara-perkara yang masih menjajah fikiran bagi menyesatkan orang ramai daripada Islam.”

Kata beliau lagi “sepatutnya kita tidak membaca perlembagaan yang disediakan itu sehingga terikat dan dikongkong dengan perkara yang tersurat sahaja.”

Bolehkah ini dilihat Hadi merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan tempoh hari yang dibuat berdasarkan Perlembagaan?

Seterusnya Hadi berkata “gunakanlah kebijaksanaan untuk memahami perkara yang tersirat menjadi akidah dan iman kita dengan mentafsir perlembagaan.” Ertinya Perlembangaan yang Hadi dakwa digubal penjajah yang menipu umat Islam sebenarnya boleh digunakan? Dan ditafsir? Bukankah itu yang dilakukan oleh para hakim dalam membuat sebarang keputusan?

Selain berkata mentafsir Perlembagaan Hadi menambah “atau menggunakan hak memindanya ke jalan yang betul mengikut petunjuk Allah secara istiqamah.” Adakah ini bermakna Hadi mahu Perlembangaan sedia ada ini dipinda? Atau Perlembagaan baharu digubal?

Izinkan saya bertanya apa yang PAS terutama Hadi sendiri lakukan selama ini? Mungkin kerana PAS tidak pernah memerintah negara oleh itu tidak mampu buat apa yang Hadi kata itu? Baik boleh diterima.

Namun apa pula yang dilakukan semasa berada dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob dahulu? Benar PAS waktu itu tidak memerintah secara mutlak tetapi ada atau tidak sekurang-kurangnya berbisik kepada Muhyiddin dan Ismail untuk melakukan sesuatu bagi ‘memperbetulkan’ Perlembagaan?

Namun dalam pada itu Hadi mengakui “tidakkah sudah banyak perkara yang telah dipinda dalam perlembagaan tersebut.” Oleh itu what’s the problem, sir?

Panjang lebar hantaran Hadi di Facebook. Yang berminat sila lawati FB berkenaan. Saya tidak sama sekali berniat berdebat dengan Hadi mengenai Perlembagaan. Siapalah saya untuk berbuat demikian dengan agamawan dan ahli politik terkenal.

Cuma saya ingin jelaskan apa yang telah terjadi berdasarkan fakta.

Oleh kerana wujudnya Perlembagaan yang digubal penjajah yang menipu, PAS wujud dan boleh bergerak aktif dalam arena politik, menyertai pilihan raya, dan memenangi kerusi di Dewan Rakyat juga membentuk kerjaan di beberapa negeri. Itu fakta.

Hadi sendiri lebih tujuh kali mengangkat sumpah yang termaktub dalam Perlembagaan untuk jawatan Ahli Parlimen dan lain jawatan dalam kerajaan. Ertinya beliau mengiktiraf Perlembagaan. Itu fakta.

Lafaz sumpah itu berbunyi: “Dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan jawatan dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia dan akan memilihara, melindungi dan mempertahankan Perlembangaannya.”

Ertinya Hadi telah berikrar (bersumpah?) memelihara, melindungi, dan mempertahan Perlembagaan yang beliau kritik keras sekarang. Ini juga fakta.

Tiada ulasan: