"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS yakin boleh tadbir Melaka lepas PRU16

Malaysiakini 

PAS Melaka melahirkan keyakinan untuk mentadbir negeri itu selepas PRU akan datang jika ahli parti terbabit mengambil pendekatan tertentu.

Pesuruhjaya PAS Melaka Zulkifli Ismail berkata ketika ini di seluruh negeri itu terdapat seramai lebih 23,000 orang ahli yang boleh digerakkan bagi menarik sokongan ramai.

Dia kemudian membandingkan jumlah ahli PAS itu dengan enam sahabat Rasulullah SAW yang berdakwah di Madinah untuk mengajak mereka memeluk Islam pada zaman silam.

Mengambil iktibar dari peristiwa pada zaman Islam baru berkembang dulu Zulkifli berkata pengislaman secara en bloc enam individu dari Madinah itu merupakan suatu sejarah.

"Tak pernah berlaku sebelum itu (ada orang) masuk Islam dengan jumlah yang besar serentak. Itulah kali pertama," jelasnya seperti dipetik harakahdaily hari ini.

Zulkifli yang juga ahli parlimen Jasin berkata demikian semasa menyampaikan ceramah Israk Mikraj di Balai Islam Kampung Seri Minyak, Jasin.

Untuk rekod Melaka memiliki 28 kerusi dewan undangan negeri.

Pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan pada 2021 menyaksikan PAS bertanding di lapan kerusi, manakala selebihnya mereka memberi laluan kepada calon lain dalam kalangan komponen PN.

Hasil PRN tersebut, semua calon PAS gagal memenangi kerusi, manakala Bersatu-PN hanya menguasai dua daripada 28 yang ada iaitu Sungai Udang dan Bemban.

Zulkifli berkata enam individu dari Madinah yang memeluk Islam terbabit melakukan dakwah sehingga Islam tersebar dengan meluas di bandar terbabit berbanding 10 tahun sebelum itu.

"Sebabnya bila balik ke Madinah (Yathrib), sahabat-sahabat ini bukan berbaiah (kepada Rasulullah) sahaja, mereka berdakwah habis-habisan sehingga tidak ada rumah di Madinah yang tidak sampai seruan dakwah Islam," katanya.

Menjelaskan perkara itu Zulkifli berkata berbanding enam orang dari Madinah yang menerima Islam itu, jumlah ahli PAS Melaka jauh lebih tinggi dan boleh digerakkan untuk parti terbabit.

"Ahli PAS di Melaka lebih kurang 23,000 orang. Kalau semua 23,000 orang ahli PAS buat kerja macam enam orang sahabat ini, PRU ke-16 nanti PAS akan tadbir kerajaan negeri Melaka," katanya.

Tiada ulasan: