"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IPR lonjak pendapatan peniaga B40

Tan Chin Tung

PETALING JAYA: Mesin layan diri terletak di satu sudut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan sering menyaksikan barisan pelajar sabar menunggu giliran membeli makanan.

Walaupun kelihatan biasa, mesin itu memuatkan pelbagai makanan dijual pada harga kurang RM10 – mengubah kehidupan keluarga B40.

Wan Asikin Wan Hassan, 42, yang menyertai Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), memasak dan mengisi stok jualan makanan di mesin layan diri berkenaan tiga kali sehari, tujuh hari seminggu.

“Boleh menambahkan pendapatan saya maksudnya kelengkapan anak (barang persekolahan) itu tak terbebanlah sebab kita dah ada pendapatan.

“Saya tidak lagi terbeban dari segi kewangan kerana kami tahu ada wang masuk,” kata isteri kepada pemandu bas itu kepada FMT.

Ibu kepada empat anak berkenaan berkata, dia memperoleh hasil jualan antara RM13,000 hingga RM21,000 setiap bulan.

Selepas menolak kos bahan mentah, Wan Asikin berkata, dia meraih keuntungan sekurang-kurangnya RM5,000, cukup lumayan berbanding ketika menjual kuih sebelum ini, dengan RM500 sahaja mampu diperoleh.

“Selepas menyertai IPR, saya tumpu sepenuhnya menyediakan makanan dalam mesin layan diri sahaja. Saya tiada masa kepada buat kerja lain kerana sambutan menggalakkan daripada pelajar,” katanya.

IPR merupakan pendekatan jangka sederhana diambil kerajaan bagi membasmi kemiskinan tegar.

Ketika ini, ia menawarkan tiga inisiatif perintis: Inisiatif Usahawan Tani (Intan), Inisiatif Usahawan Makanan (Insan), dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (Ikhsan).

Program terbabit memberi manfaat kepada 4,100 isi rumah sehingga November 2023, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Permintaan tinggi

Peserta IPR, Amin Afifi, 36, yang membekalkan makanan mesin layan diri IPR di UiTM Pulau Pinang, membelanjakan ribuan ringgit setiap bulan membeli bahan mentah.

“Ada sekitar 10 ke 15 jenis makanan disediakan dalam mesin layan diri, termasuk sandwich, chicken chop, nasi lemak, dan kek.

“Kami kena menukar menu, jika tidak pelajar akan bosan,” katanya sambil menambah dia membekal 60% makanan dalam mesin itu, selebihnya diisi pengeluar lain.

Dia pada mulanya agak sinikal terhadap inisiatif berkenaan ketika menyertainya pada September lalu, dan ragu-ragu sama permintaan mesin layan diri akan melebihi penjualan bakeri dalam talian, yang diuruskan secara sepenuh masa bersama isteri.

“Bulan pertama itu kita sasar bekalan makanan, tapi bila dah nampak dia punya perkembangan..kita pun beralih kepada sepenuh masa.”

Amin, yang mempunyai beberapa perniagaan lain sebelum ini yang kurang membuahkan hasil, berkata dia tidak lagi bimbang lagi untuk menyara keluarga – memandangkan keuntungan bulanan meningkat lima kali ganda kepada RM5,000 secara puratanya.

“Bagi saya IPR itu pemula untuk menghasilkan pendapatan dan simpanan.

“Lepas itu kita mengharapkan program macam mana kita nak usahakan kedai makan,” katanya.

Tiada ulasan: