"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Prof AS dakwa tak selamat kunjungi Malaysia selepas sebar propaganda sokong zionis

Rohaniza Idris
roha@bh.com.my
Dr Bruce Gilley.
Dr Bruce Gilley.
KUALA LUMPUR: Ahli akademik Amerika Syarikat (AS) dipercayai pro-Israel, Dr Bruce Gilley yang menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi sudah meninggalkan negara ini.

Gilley yang juga profesor sains politik di Universiti Negeri Portland, berkata beliau meninggalkan Malaysia kerana mendakwa bimbang dengan keselamatan disebabkan ancaman 'kumpulan fasis Islam yang dikumpulkan kerajaan di sana'.

"Ini bukan negara yang selamat untuk dilawati sekarang," katanya dalam catatan di X.

Dalam hantaran berlainan Gilley memaklumkan kos perbelanjaan perjalanan dan penginapannya ditarik balik Universiti Malaya (UM) kerana "kelakuannya yang memalukan kerajaan Malaysia."

Sehubungan itu, beliau melancarkan kempen mengumpul dana di GoFundMe untuk menampung kos berjumlah AS$2,346 (RM11,222).

Dalam halaman GoFundMe kempen itu, Gilley mendakwa beliau terpaksa meninggalkan Malaysia selepas mengkritik pendirian negara itu terhadap Israel ketika ucaptama di Universiti Malaya.

Beliau berkata,tindakan universiti itu membatalkan jawatan profesor pelawatnya menyebabkannya terpaksa menanggung kos penerbangan dan hotelnya sendiri.

"Ini adalah permintaan terbuka untuk mendapat sokongan orang ramai membiayai kos ini, berjumlah AS$2,346," tulisnya di GoFundMe.

Sebelum itu, ahli akademik itu melahirkan rasa kesal atas kemudaratan kesan kenyataannya dalam petikan ceramahnya bertajuk "Adakah Malaysia Menjadi Kuasa Pertengahan Aktif" di UM pada Selasa lalu, namun sudah memadamkan hantaran itu.

Dalam ceramah itu, Gilley juga memperkecilkan hubungan Malaysia dengan AS.

"Sebuah negara yang pemimpin politiknya menganjurkan Holocaust kedua terhadap orang Yahudi tidak akan menjadi pemain yang serius dalam hal ehwal dunia, dan sudah tentu tidak akan menjadi rakan atau rakan kongsi AS, ini adalah sebahagian daripada ucaptama saya semalam di KL mengenai dasar luar Malaysia ," katanya dalam catatannya di X semalam.

"Ini mengingatkan kembali kepada nasihat Mahathir (bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad) supaya belajar daripada Jerman bagaimana cara menghapuskan bangsa Yahudi.

"Paling jelas, pada Oktober, Menteri Pertanian (dan Keterjaminan Makanan) Mohamad Sabu menjanjikan satu demonstrasi akan diadakan bagi 'Israel akan dihapuskan tidak lama lagi'," katanya.

Susulan insiden itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) turut mengarahkan sebarang program dan aktiviti yang dijadual dihadiri Gilley dibatalkan segera.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, dilaporkan berkata pihak kementerian mengambil maklum dan memandang serius berhubung isu yang berlaku itu.

Tiada ulasan: