"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'PKR mati moral': Surendran disindir sertai Azmin

B Nantha Kumar

Bekas naib presiden PKR N Surendran dibidas kerana mendakwa parti itu telah "mati moral."

Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan mencadangkan Surendran supaya dia meneruskan perjuangan bersama bekas timbalan presiden parti itu Mohamed Azmin Ali.

"Pelik apabila individu seperti Surendran bercakap mengenai 'moral'.

"Mana pergi 'moral' saudara ketika menjadi peguam kepada Azmin selepas dia bersama beberapa ahli parlimen PKR mengkhianati mandat rakyat menerusi 'Langkah Sheraton'.

"Saya cadangkan saudara Surendran perlu meneruskan 'perjuangannya' bersama-sama Azmin di Bersatu," katanya.

Timbalan Setiausaha Agung PKR Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Terdahulu, Surendran yang juga seorang peguam meluahkan perasaannya melihat PKR menganjurkan sambutan khas sempena 25 tahun penubuhannya semalam.

"Apa yang nak diraikan?" katanya di platform media sosial X, "Selama 25 tahun mereka menjanjikan pembaharuan. Apabila berkuasa - tak ada pembaharuan, cuma alasan."

Dia yang juga seorang peguam menambah sepanjang tempoh perjalanan PKR ada ramai watak yang berjuang demi apa yang diyakini mereka dan berdepan dengan risiko dipenjara.

Semuanya itu, kata Surendran, dibuat untuk membolehkan PKR berkuasa.

Namun, katanya, ketika ini semua itu dianggap sia-sia.

Bagaimanapun, Sathia mendakwa kritikan Surendran selalunya bersifat pilih kasih.

"Saya tak nampak pun, dia kritik Azmin dan pasukan dia ketika mereka mengumumkan keluar PKR sehingga tumbang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 2020.

"Malah, dia sanggup mewakili Azmin berhubung isu video seks yang dikaitkan dengannya.

"Nampaknya, apa yang Surendran kata betul di mana ada pihak mempergunakan PKR untuk kepentingan peribadi," katanya.

Surendran keluar dari PKR pada Feb lalu selepas menyatakan kekecewaan dengan sikap "berdiam diri yang memalukan" PH terhadap siasatan ke atas bekas ahli parlimen DAP Tony Pua.

Pua disiasat mengikut Akta Hasutan kerana kenyataannya mengenai peringanan hukuman penjara Najib Razak.

Selepas mengumumkan peletakan jawatannya di X selepas berbalas hujah dengan Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil, yang sebelum itu mengingatkannya agar mematuhi disiplin parti semasa memberikan pandangan.

"Fahmi, tak kisahlah disiplin parti. Saya sudah lama tidak menjadi ahli aktif parti.

"Tak ada gunanya menjadi ahli kepada parti yang tidak lagi mewakili perubahan dan reformasi. Anggap ini sebagai peletakan jawatan saya,” kata Surendran.

Tiada ulasan: