"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sheriff' tangkap pencuri selipar di masjid

Redzuan Muharam
redzuan.muharam@hmetro.com.my
TANGKAP layar video parodi Masjid Bandar Seri Putra, Bangi yang tular di TikTok.
TANGKAP layar video parodi Masjid Bandar Seri Putra, Bangi yang tular di TikTok.
Bangi: Populariti filem Sheriff: Narko Integriti ketika ini memberi ilham kepada pengurusan Masjid Bandar Seri Putra, di sini, untuk menghasilkan video parodi berunsur peringatan dan dakwah.

Inspirasi daripada babak filem mega itu, pengurusan masjid mengangkat isu yang sering berlaku di masjid iaitu kes curi selipar, malah menjadi video nasihat pertama yang menarik perhatian ramai.

Perkongsian video itu di TikTok meraih lebih 1.3 juta tontonan dengan maklum balas warganet yang rata-ratanya mengakui terhibur.

Pencipta kandungan Masjid Bandar Seri Putra, Muhamad Amirul Azizi Roslan, 28, selaku pelakon dan penulis skrip berkata, idea itu tercetus selepas melihat kejayaan filem yang bukan hanya meraih kutipan tinggi tetapi juga 'trending' di laman sosial.

"Sejak kebelakangan ini, banyak video trailer filem Sheriff: Narko Integriti dimuat naik di TikTok dan laman sosial. Kita sedar orang sukakannya, jadi kami bincang untuk hasilkan video isu di masjid.

"Hasil perbincangan bersama, kami sepakat mengangkat cerita bagaimana imam menangkap pencuri selipar di masjid, namun wataknya sekadar rekaan sahaja dan bukan realiti sebenar yang berlaku di masjid kami," katanya ketika dihubungi harian Metro.

Meskipun hanya lakonan, Muhamad Amirul Azizi berkata, kisah dipaparkan dalam video itu mempunyai mesej jelas sebagai peringatan semua pihak bahawa perbuatan mencuri itu tetap satu kesalahan.

"Kiranya, video itu medium kita untuk berdakwah dan sampaikan mesej secara tak langsung kepada yang menonton. Alhamdulillah, ramai yang suka, beri maklum balas positif di ruangan komen dan boleh faham kerana ada pengalaman sama (selipar hilang akibat dicuri).

"Ramai juga minta muat naik lagi video kreatif dan memang itu perancangan kita iaitu hasilkan lebih banyak 'content' (kandungan) berunsur dakwah.

"Usaha itu seiring dengan slogan kita iaitu santai tapi sampai dengan harapan ia dapat tarik lagi lebih ramai orang ke masjid," katanya.

Tiada ulasan: