"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mahkamah Filipina sekat pengeluaran 'beras emas' GMO atas isu keselamatan

BHarianonline 
Petani menanam jenis padi yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di bandar Los Banos, wilayah Laguna, Filipina. - Foto AFP
Petani menanam jenis padi yang dibangunkan oleh Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) di bandar Los Banos, wilayah Laguna, Filipina. - Foto AFP
MANILA: Mahkamah Filipina menyekat pengeluaran komersial 'beras emas' yang diubah suai secara genetik (GMO) kerana pandangan saintifik mendakwa ia menimbulkan kebimbangan kesihatan dan keselamatan alam sekitar yang ' teruk'.

Filipina adalah negara pertama di dunia yang meluluskan 'beras emas', yang diperkaya dengan beta-karotena prekursor Vitamin A dan mempunyai warna kuning terang, sebagai usaha untuk memerangi penyakit hilang penglihatan dalam kalangan kanak-kanak.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan di Manila membatalkan permit biokeselamatan untuk pengeluaran komersial beras berkenaan yang diberikan oleh pengawal selia kerajaan pada 2021, selepas 14 penentang memfailkan cabaran.

Keputusan mahkamah, yang dikeluarkan pada 17 April itu dan dilihat oleh AFP semalam, juga terpakai kepada terung yang diubah suai secara genetik iaitu terung BT, yang tahan perosak.

"Oleh sebab pandangan saintifik yang bercanggah dan ketidakpastian mengenai risiko dan kesan 'Beras Emas' dan 'Terung Bt', timbul potensi ancaman teruk dan serius terhadap kebajikan orang ramai serta alam sekitar," kata mahkamah.

"Penanaman komersial tidak dibenarkan 'sehingga tiba masa agensi kerajaan selaku responden yang berkenaan, mengemukakan bukti keselamatan dan pematuhan semua keperluan undang-undang," katanya.

Sebelum ini, pakar berharap beras itu akan membantu memerangi penyakit hilang penglihatan pada kanak-kanak dan menyelamatkan nyawa di negara membangun.

Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan kekurangan vitamin A menyebabkan sehingga 500,000 kes buta kanak-kanak setiap tahun, kebanyakannya di negara membangun, dengan separuh daripada mereka mati dalam tempoh 12 bulan selepas hilang penglihatan.

'Beras emas' dibangunkan selama dua dekad oleh Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) yang berpangkalan di Filipina dan Jabatan Pertanian-Institut Penyelidikan Beras Filipina (PhilRice), manakala terung BT dibangunkan oleh Universiti Filipina kampus Los Banos.

Kumpulan saintis menegaskan kedua-dua bahan makanan itu selamat untuk dimakan.

Pengarah eksekutif PhilRice, John de Leon, dalam satu kenyataan berkata, institut itu sedang 'menyemak kesan' keputusan itu untuk mengeluarkan kenyataan lanjut,

IRRI berkata, mereka akan terus bekerjasama dengan PhilRice dalam 'membangunkan intervensi pemakanan yang selamat dan berkesan melalui penyelidikan beras'.

Mereka juga berkata, 'beras emas' menerima 'penilaian keselamatan makanan yang positif' daripada pengawal selia di Australia, New Zealand, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, beras itu menghadapi tentangan kuat daripada kumpulan alam sekitar yang membantah tumbuhan GMO dan sekurang-kurangnya satu pusat ujian di Filipina diserang oleh aktivis.

Pihak penentang yang memfailkan bantahan manakala Greenpeace dilihat menyambut baik keputusan mahkamah itu.

"Keputusan ini adalah kemenangan besar bagi petani dan rakyat Filipina yang sudah berdekad menentang tanaman GMO.

"Tanaman GMO tidak pernah terbukti selamat, dan menghalang kemajuan yang diperlukan dalam pertanian ekologi berdaya tahan iklim yang mengekalkan hak kawalan benih di tangan petani kami," kata juru kempen Greenpeace Asia Tenggara, Wilhelmina Pelegrina, dalam satu kenyataan.

Beras biasa, makanan ruji untuk ratusan juta orang, terutamanya di Asia, menghasilkan beta-karotena dalam tumbuhan tetapi ia tidak ditemui dalam bijirin beras. - AFP

Tiada ulasan: