"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zaid Ibrahim: PN tak mampu tarik sokongan bukan Melayu yang besar

FMT Reporters

PETALING JAYA: Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) mampu melancarkan kempen yang berwibawa menjelang PRK Kuala Kubu Baharu, ia tidak akan dapat menarik sokongan yang besar daripada golongan bukan Melayu.

Zaid yang juga bekas ahli PKR dan DAP berkata, PN harus mengelak daripada menunjukkan “kecenderungan melampau” atau membuat ucapan berapi-api.

PN juga perlu menampilkan diri sebagai parti bertanggungjawab yang bersedia untuk mengambil alih tampuk pemerintahan, katanya.

“Tetapi di situlah masalahnya. PN tidak akan dapat menarik sokongan bukan Melayu yang besar.

“Mencabar bagi parti itu untuk bertapak dalam kalangan pengundi Cina,” katanya di platform media sosial X.

Zaid berkata, walaupun populariti bekas menteri besar Selangor Azmin Ali akan membantu dalam usaha menarik orang bukan Melayu menyokong PN, beliau perlu meyakinkan pengundi Cina dan India bahawa pemimpin bukan Melayu akan memegang portfolio penting di Selangor.

Sementara itu, katanya, Pakatan Harapan (PH) akan dapat mengekalkan kerusi DUN yang disandangnya selama tiga penggal itu jika dapat mencapai beberapa perkara.

Ini termasuk peruntukan pembangunan sama rata untuk wakil rakyat pembangkang, serta menangani isu “perintah tambahan”, yang dikatakan membolehkan bekas perdana menteri Najib Razak menghabiskan hukuman penjaranya sebagai tahanan di rumah.

“Jika perkara-perkara ini dapat dicapai, PH akan terus menjadi pilihan di Kuala Kubu Baharu,” katanya.

Zaid juga mempertahankan keputusan DAP untuk mencalonkan Pang Sock Tao pada PRK 11 Mei itu dengan berkata, beliau ialah pilihan yang tepat walaupun disifatkan sebagai calon berisiko oleh segelintir penganalisis.

Semalam, PN menamakan pemangku ketua Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, sebagai calonnya.

PRK Kuala Kubu Baharu dijadualkan selepas kerusi itu kosong berikutan kematian Adun tiga penggal DAP, Lee Kee Hiong, akibat kanser bulan lepas.

Tiada ulasan: