"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terima upah RM2,000 jaga stor dadah

Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Seorang penganggur menerima RM2,000 sebulan sebagai upah menjaga bekalan dadah sejak Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, kegiatan lelaki berusia 20-an itu terbongkar susulan rampasan dadah jenis pil kuda dan heroin bernilai hampir RM400,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Paya Datu, Manir di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, serbuan kira-kira jam 10.30 pagi itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Terengganu hasil maklumat dan risikan dijalankan.

Beliau berkata, serbuan itu berjaya menahan suspek yang sedang melakukan aktiviti penagihan dadah di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut menemui sebuah beg di atas lantai mengandungi kira-kira empat kilogram pil kuda bernilai RM380,000 dan 33.12 gram heroin bernilai RM4,050.

"Kita turut merampas sebuah motosikal Yamaha Y15ZR bernilai RM12,000 dan wang tunai sebanyak RM240 dipercayai hasil kegiatan dadah membabitkan rampasan keseluruhan bernilai hampir RM400,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.

Azli berkata, siasatan mendapati kegiatan berkenaan bermula sejak Disember tahun lalu dengan bekalan dadah dipercayai diperoleh dari negara jiran

Katanya, bekalan dadah berkenaan dipercayai untuk pasaran daerah ini dan kawasan sekitarnya.

"Suspek tinggal di rumah berkenaan bersama neneknya dan menerima RM2,000 sebulan sebagai upah.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa pengedar dadah yang dipercayai terbabit dalam kegiatan ini dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

"Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine kini direman selama tujuh hari sehingga 28 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Tiada ulasan: