"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tiga pencapaian anak pemimpin PN yang ‘membanggakan’, giliran siapa pula selepas ini?

Harapandaily

Satu demi satu pencapaian anak beberapa pemimpin Perikatan Nasional (PN) muncul dan hangat diperkatakan rakyat Malaysia.

Pada masa sama, penyokong tegar pembangkang yang mesra dipanggil walaun dilihat tidak pula ‘berbunyi’ apabila keluarga pemimpin mereka terlibat dalam kes mahkamah:
Adlan (kiri) dan peguamnya, Mansoor
1) Menantu Pengerusi PN

Menantu Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sudah menghilangkan diri sejak Mei tahun lalu.

Dia dan peguamnya Mansoor Saat menghadapi pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka menghadapi pertuduhan berkaitan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Bagaimanapun, Adlan, 48, dan Mansoor, 69, dipercayai melarikan diri dari negara ini, masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei tahun lepas.

Adlan mempunyai alamat terakhir di Sunway Kiara Hills, Jalan 32/70A Desa Sri Hartamas manakala Mansoor beralamat terakhir di Jalan SS19/1C Subang Jaya, Selangor.

Namun, Adlan dalam satu kenyataan melalui peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu menafikan dia lari daripada pihak berkuasa dan menyatakan akan pulang ke tanah air bagi membantu siasatan.

Pada Oktober tahun lalu, polis mengesahkan telah menyerah dokumen diperlukan kepada Interpol untuk permohonan Notis Merah terhadap Adlan dan Mansoor.

2) Anak Setiausaha Agung PN

Anak kepada Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Ketua Pembangkang berdepan pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan memiliki barang kawalan minyak masak melebihi had dibenarkan.

Muhammad Faisal Hamzah, 39, didakwa bersama Azizul Abdul Halim, 55, kedua-duanya pengarah Rimba Merpati Sdn Bhd, iaitu pemegang lesen minyak masak borong.

Mereka didakwa memberikan maklumat palsu dengan mengeluarkan invois palsu mengenai penjualan minyak itu kepada syarikat peruncit tempatan, Pasar Segar Din Maju yang menyalahi Seksyen 8(4) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (4) (b) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.

Tertuduh selaku pemegang lesen borong juga didapati melanggar Peraturan 9 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu memiliki barang kawalan berjadual jenis minyak masak melebihi had 50 tan metrik.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 11.15 malam di Premis Perniagaan Rimba Merpati Sdn Bhd di Kawasan Industri Sinar Andalas, Senawang, di sini pada 11 Ogos 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama seksyen 22 (4) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

3) Anak Menteri Besar Perlis

Paling terbaharu dan menggemparkan ialah kes melibatkan anak kepada Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Anak lelaki Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis itu antara enam individu yang direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mereka direman bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Dia dan lima suspek yang ditahan dikehendaki membantu siasatan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan prasarana seperti membaik-pulih, menyelenggara, perbekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Untuk rekod, Mohd Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas Perlis mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis yang kelapan pada 22 November 2022.

Mohd Shukri, 63, menjadi Menteri Besar pertama dari gabungan PN yang mentadbir Perlis buat julung kalinya sejak merdeka.

Gabungan PN menang 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.

Tiada ulasan: