"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Culik 2 budak perempuan, lelaki dipenjara 2 tahun

FMT Reporters
Peniaga pisang goreng Mohamad Shahriza Othman mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun di Jeram pada 19 Julai lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang peniaga pisang goreng dihukum penjara dua tahun dan didenda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Sungai Besar atas tuduhan menculik dua kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun di Jeram pada 19 Julai lalu.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Shahriza Othman, 31, yang mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Shahriza menculik seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan dan enam tahun dari penjaganya di Nombor 2, Jalan Ikan Emas 2, Taman Ikan Emas di Jeram pada 6.30 petang, 19 Julai lalu.

Dia dakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tujuh tahun dan boleh juga didenda.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melarikan dua kanak-kanak perempuan itu yang sedang bermain di hadapan rumah dengan menaiki kereta jenis Perodua Bezza.

Tertuduh mengajak kedua-dua mangsa menemaninya untuk menghantar surat sambil memberikan wang tunai RM50 sebagai upah.

Mangsa mengikut lelaki itu ke kedai runcit dan mengajak berjalan-jalan sekitar Jeram dan singgah di rumah tertuduh sebelum menghantar semula mangsa kira-kira 7.45 malam.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhd Muqri Mohd Khairi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memberi alasan dia melakukan perbuatan itu kerana tidak memiliki anak perempuan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Sofea Jaysal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kes penculikan semakin meningkat yang akan mempengaruhi dan mengancam keselamatan awam.

Media sebelum ini melaporkan dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat selepas dipercayai dilarikan seorang lelaki dengan menaiki sebuah kereta Perodua Bezza di Jeram, pada Jumaat.

Tiada ulasan: