"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwa Anwar 'scammer' peguam disiasat

Shahrin Aizat Noorshahrizam

Polis hari ini menyiasat seorang peguam di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung ucapannya pada perhimpunan antikerajaan bulan lalu, yang menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai 'scammer' kerana gagal mengotakan janji.

Penganjur himpunan "Rakyat Lawan Anwar", Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, dia dipanggil untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar susulan laporan yang dibuat di Perlis oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak dinamakan.

"Tajuk ucapan scammer, scammer, Anwar scammer ini rupa-rupanya telah pun mendapat perhatian daripada beberapa NGO.

"Salah satu NGO di Perlis telah buat laporan polis terhadap saya dan siasatan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 bersama Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 505B Kanun Keseksaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, Kuala Lumpur hari ini.

Pada 29 Jun lalu, kira-kira 400 peserta berhimpun di Putrajaya bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan pimpinan Anwar.

Rafique yang turut berucap dalam perhimpunan itu menyebut mengenai "enam penipuan utama" termasuk penggunaan berterusan undang-undang lapuk seperti Akta Hasutan terhadap pengkritik kerajaan, sedangkan PH pada suatu ketika dahulu berjanji memansuhkan undang-undang drakonian itu.

Rafique turut mempersoalkan janji kerajaan menentang rasuah, bermula dengan sokongan terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi selepas 47 pertuduhan rasuah terhadapnya digugurkan.

Dalam perkembangan terkini, Rafique dalam ucapannya mengulangi gesaan agar kerajaan bertindak selari dengan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Mengulas lanjut Rafique berkata telefon bimbit miliknya turut dirampas bagi membantu siasatan.

"Saya telah beri segala maklumat, tiada masalah telefon bimbit itu dirampas,” katanya.

Menurutnya, dia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan bersedia untuk menjawab pertuduhan terhadapnya di mahkamah.

Selain itu, Rafique berkata seramai 12 individu termasuk penganjur telah disoal siasat di IPD Putrajaya.

"Saya juga telah dipanggil (untuk dirakam keterangan) dan memberi kerjasama di IPD Putrajaya,” katanya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, kesemua individu yang dikenal pasti akan dipanggil untuk disiasat di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012.

Tiada ulasan: