"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak tauke restoran dipercayai dibunuh, kenderaan dibakar

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan. FOTO Ihsan Polis
PASUKAN polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, Sandakan. FOTO Ihsan Polis
Sandakan: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Ahad lalu terjawab apabila mayatnya ditemukan dan dipercayai dibunuh di kawasan semak berdekatan sebuah ladang di Kampung Sungai Memanjang, di sini, hari ini.

Mayat mangsa dikenali sebagai Naufal Abdul Rashid, 35, ditemukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kira-kira 11 pagi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sandakan Superintendan Ramasamy Kuppan berkata, pihaknya menerima laporan awal berhubung penemuan sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar di kawasan berkenaan.

Susulan itu katanya, sepasukan polis digerakkan ke tempat berkenaan untuk pemeriksaan lanjut.

"Setiba di lokasi didapati sebuah kenderaan pacuan empat roda terbakar namun tiada individu di dalam kenderaan berkenaan.

"Anggota polis kemudian menjalankan pemeriksaan di sekitar lokasi kenderaan itu dan menemui satu mayat lelaki yang disyaki berkaitan satu laporan orang hilang pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Duchess Of kent (HDOK) Sandakan untuk tujuan bedah siasat.

"Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Sejak pagi, tular di media sosial berkaitan kehilangan seorang lelaki yang juga anak tauke restoran Supreme, kira-kira 3 petang, Ahad lalu.

Tiada ulasan: