"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penganggur ditahan susulan kehilangan Nurul Aishah Farhana

Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Nurul Aishah Farhana Azni
HULU SELANGOR: Seorang penganggur ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan Nurul Aishah Farhana Azni di Bandar Utama Batang Kali di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus, berkata pemuda berusia 20-an itu ditahan di kawasan Triang, Pahang, jam 12.30 tengah malam tadi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor.

Pada masa sama katanya, remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditemukan selamat dalam sebuah rumah dipercayai milik saudara kepada suspek.

"Siasatan mendapati suspek dipercayai melarikan mangsa yang berdepan dengan masalah keluarga.

"Ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod lampau jenayah atau dadah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Asri menegaskan polis berjaya menyelesaikan kes terbabit dalam tempoh 24 jam.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk menjalani pemeriksaan.

"Suspek direman selama tiga hari bermula hari ini sehingga 27 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017," katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan daripada bapa Nurul Aishah Farhana di Balai Polis Batang Kali, jam 12.42 tengah hari semalam.

Lokasi terakhir remaja perempuan itu adalah di sebuah kedai makan di Bandar Utama Batang Kali jam 9.30 malam kelmarin.

Tiada ulasan: