"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Baburam pilih jadi penjenayah untuk buktikan masih hidup

Agensi
BABURAM Bhil. FOTO Agensi
BABURAM Bhil. FOTO Agensi
New Delhi: Seorang lelaki India yang secara salah disahkan mati oleh kerajaan, baru-baru ini memilih melakukan jenayah sebagai cara terdesak untuk membuktikan bahawa dia masih hidup.

Memetik laporan Oddity Central, Baburam Bhil, 40, dari kampung Mithora di Rajasthan, sudah lama cuba meyakinkan pihak berkuasa bahawa dia masih hidup selepas mereka mengeluarkan sijil kematian atas namanya.

Dia cuba membetulkan kesilapan itu dengan merayu kepada orang kampung dan pihak berkuasa negerinya, tetapi tidak berjaya. Jadi, dia memutuskan untuk menggunakan pilihan yang lebih ekstrem.

Takut semua hartanya akan dirampas oleh kerajaan selepas kematian palsu itu, Baburam membuat kesimpulan bahawa menjadi penjenayah yang serius adalah cara terbaik untuk menarik perhatian kepada masalahnya.

Pada 19 Julai, dia mengambil pisau dan botol petrol dan mula 'mengganas' di sebuah sekolah.

Selepas memasuki Sekolah Chuli Bera Dharana, lelaki yang terdesak itu terus mencederakan beberapa guru, pemangku guru besar dan satu pasangan ibu bapa.

Menurut laporan polis, Baburam Bhil turut menjadikan beberapa pelajar dan guru sebagai tebusan, sehingga pihak penguat kuasa undang-undang tiba dan menahannya.

Semasa soal siasat, lelaki itu menjelaskan bahawa dia sudah diisytiharkan mati secara salah, dan selepas berulang kali cuba untuk membatalkan sijil kematiannya, dia terdesak untuk membuktikannya masih hidup.

Dia berpendapat bahawa melakukan jenayah yang cukup serius untuk dirinya ditangkap akan menyebabkan polis tiada pilihan lain selain menangkapnya, dan menulis namanya dalam rekod polis dan ia bukti bahawa dia sebenarnya tidak mati.

Baburam Bhil kemudian ditahan kerana jenayahnya, tetapi rancangannya itu mungkin berjaya kerana polis sudah mengumumkan siasatan terhadap dakwaannya.

Tiada ulasan: