"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru didakwa kasari murid autistik

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang guru didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan menggunakan kekerasan terhadap seorang kanak-kanak lelaki autistik di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak istimewa, minggu lalu.

Bagaimanapun, M Thinesh, 33, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret, Shahril Anuar Ahmad Mustapha, lapor Bernama.

Mengikut pertuduhan, Thinesh didakwa melakukan perbuatan itu terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun di sebuah pusat jagaan kanak-kanak istimewa di sini pada 11.50 pagi, 16 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asmaa’ Zamri menawarkan jaminan RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Y Sharvin Nair mewakili Thinesh tidak membantah syarat tambahan dan jumlah jaminan dicadangkan pihak pendakwaan.

Majistret kemudiannya membenarkan Thinesh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang bapa membuat laporan polis mendakwa seorang guru menendang, memukul dan menarik anaknya secara kasar sehingga mangsa terjatuh daripada kerusi.

Susulan laporan itu, polis menahan guru terbabit di kediamannya di Ampang.

Tiada ulasan: