"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Aziz Bari patut bincang kepincangan undang-undang / UBN Najib Altantuya / Zambry / PKFZ

Azmi Yusof
KUALA TERENGGANU, 21 Okt:
Profesor Dr Abdul Aziz Bari sewajarnya membicarakan kepincangan dalam pilihan raya kecil (PRK) Bagan Pinang dari sudut undang-undang, bukannya perubahan kepimpinan PAS.

Sehubungan itu, Institut Kajian Polisi, PAS Negeri Terengganu (IKPNT) mendapati tulisan beliau di dalam sebuah akhbar harian tabloid Isnin lalu tidak seimbang.

Akhbar itu melaporkan cadangan Abdul Aziz, profesor undang-undang perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) agar PAS menyusun semula kepimpinannya.

Antaranya Aziz melihat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Razak lebih terbuka dari Abdul Hadi untuk memimpin PAS di masa depan.

Setiausaha IKPNT, Muhammad Zaidan Abdullah berkata, hujah-hujah yang dikemukakan oleh pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa itu di dalam tulisannya yang bertajuk"Pengajaran dari Bagan Pinang: PAS kena ambil langkah drastik lakukan reformasi kepimpinan" juga tidak tepat.

Ini, katanya kerana Aziz pada asalnya menyebut "sekadar hendak mengungkap beberapa perkara yang penting dari sudut perlembagaan khususnya dan sistem politik umumnya".

"Sepatutnya beliau banyak membicarakan kepincangan dalam pilihan raya kecil tersebut dari sudut undang-undang yang penuh dengan keganasan dan penipuan yang dilindungi oleh undang-undang," ujarnya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, pandangan terhadap keraguan proses undi pos, salahguna jentera kerajaan, ketelusan SPR dan rasuah patut diberikan pandangan dan penjelasan oleh beliau sebagai seorang ahli undang-undang.

Tetapi, sebaliknya, beliau telah membicarakan perubahan kepimpinan yang mesti dilakukan oleh PAS secara drastik.

Sehubungan itu, Zaidan bertanya apakah kepimpinan PAS patut bertukar secara drastik selepas kekalahan di Bagan Pinang sedangkan PAS berjaya mengekalkan kemenangan dalam PRK Bukit Gantang, Manek Urai, Permatang Pasir dan merampas kerusi BN di Parlimen Kuala Terengganu.

Ini, katanya kerana dalam semua PRK tersebut, kepimpinan PAS adalah kepimpinan yang sama dengan PRK N.31 Bagan Pinang.

Tambahnya, umum juga mengetahui penyertaan PAS di Bagan Pinang disedari sukar untuk dimenangi atau sebagai "underdog" sebagaimana dikatakan oleh pengarah PRK itu, Salahuddin Ayub.

"Prof Dr Aziz Bari telah berhujah secara tidak profesional. Perlu difahami bahawa kepimpinan PAS adalah sebuah kepimpinan berjemaah, dan bukan hanya kepimpinan individu seperti yang disebut oleh beliau," katanya lagi.

Tambahnya, kepimpinan PAS adalah kepimpinan ulama yang memikul tanggungjawab daripada amanah Allah swt 0dan rasul-Nya saw yang bertindak berdasarkan keputusan-keputusan yang diambil di pelbagai peringkat selaras dengan prinsip syura yang dipakainya sedangkan Aziz hanya melihat PAS sebuah parti politik.

Jelasnya lagi, PAS adalah sebuah gerakan Islam yang bertanggungjawab dalam menguruskan semua polisi dan kegiatannya di bawah dasar kepimpinannya secara berjemaah.

IKPNT, ujarnya berharap Dr Aziz meneliti dengan tepat keputusan-keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa PAS Pusat di dalam isu-isu yang berkaitan dengan kritikan beliau.

"Janganlah hanya menjeling kepada kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh pihak-pihak tertentu dan mengatakan bahawa ini betul dan ini tidak betul sedangkan beliau sendiri tidak mendapat penjelasan rasmi daripada pihak yang berautoriti dalam PAS. Inilah yang sepatutnya beliau lakukan sebagai seorang yang arif dalam bidang undang-undang," ujarnya.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pensyarah itu telah membuat satu persepsi yang tidak adil terhadap kepimpinan PAS dengan membahagikan kepada dua blok, pro-Umno dan tidak pro-Umno memandangkan ia tidak timbul lagi kerana telah diberikan penjelasan mengenainya oleh pemimpin-pemimpin PAS.

Menurutnya, adalah lebih bijaksana sekiranya komentar yang dibuat berlandaskan etika profesionalisme serta kefahaman yang benar terhadap PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Ini, katanya kerana pemimpin-pemimpin PAS dari dulu sehingga sekarang telah berjaya membuat perubahan politik dalam negara, bahkan telah terbukti di kalangan pemimpin-pemimpin utamanya memainkan peranan di peringkat antarabangsa dalam memartabatkan Islam dan membela umat sejagat.

"IKPNT percaya kepimpinan PAS bersikap terbuka untuk menerima teguran. Walaupun begitu, kita sepatutnya berhati-hati (hazar) agar tidak terperangkap dengan agenda musuh untuk melemahkan Islam," ujarnya.

Tiada ulasan: