"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Niat saya menulis hanya satu...

Azamin Amin
Jika hanya seorang daripada 150,000 orang pembaca Harakah dan Harakahdaily mendapat manfaat darinya, saya memanjat syukur ke hadrat Allah kerana niat saya selama ini telah dikabulkan.

Itulah cita-cita saya ketika mula-mula menggalang tugas wartawan kira-kira empat tahun lalu. Tidak lebih dari itu.

Saya pun tidak menyangka dan merancang untuk memikul tanggungjawab itu, tambahan pula bukan ada kemahiran selok belok jurusan dan bidang yang diceburi berbanding rakan-rakan yang lain yang jauh lebih mahir, ada kelulusan dan berpengalaman luas apatah lagi tokoh-tokoh hebat penulis ternama.

Ianya datang tanpa diduga dan akhbar Harakah yang pernah saya tatap ketika berusia 15 tahun, adalah tempat saya bernaung kini.

Ketika itu, tahun 1990 saya bersekolah asrama di Ipoh, Perak. Saya masih ingat ketika membaca Harakah di dalam kelas sementara menunggu guru tiba. Begitu asyik, sehingga guru muncul dari belakang, tidak disedari. Dengan tidak semena-mena guru itu merampas akhbar tersebut lalu melemparkannya ke atas meja.

"Toksah kawan dengan dia. Dia ni pembangkang!" kata guru saya dengan tegas.

Saya hanya tersenyum simpul laksana pengantin. Tak rasa tertekan atau marah langsung, sungguhpun kawan-kawan semua bersorak-sorai di belakang saya. Dan kini ramai kawan-kawan memberi sokongan, bahkan sanggup berkorban jauh lebih hebat dari saya.

Sebenarnya untuk saya 'tiba' ke Harakah, saya terpaksa melintasi kepayahan susur-galur kehidupan mencabar dan memeritkan. Hikmah Allah sahaja mengetahui.

Barangkali, hemat saya, Allah mahu saya tahu dan rasai apa itu kemiskinan dan penghinaan malah mengenali cebis-cebis lorong hitam, kedurjanaan lembah hina, ganja, gagak hitam, geng, gaduh dan kelab malam sebelum 'dibersihkan' di Harakah.

Allah jua pernah 'membawa' saya ke pondok pengajian agama, untuk mengecapi nikmat ilmu kalam-Nya supaya boleh menjadi pendinding kehidupan dunia dan abadi selamanya.

Sebenarnya, catatan atau tulisan artikel yang saya adalah untuk dikongsikan bersama supaya ramai yang mendapat manfaat. Dahulu, ada juga bercita-cita untuk menjadi 'motivator' seperti pakar-pakar yang tersohor atau sekadar penyuntik semangat kepada yang lain.

Kerana apa?

Kerana, saya ingin membantu sesiapa yang kecundang minda dan semangat untuk terus bangkit menghadapi ataupun melawan cabaran yang mendatang.

Untuk membantu dengan harta, saya tidak mampu. Untuk menolong dengan ilmu, rasanya masih naif dan dangkal lagi. Yang mampu hanya, mencebiskan lingkaran pengalaman semata-mata.

Motivasi bekas penagih

Kehidupan saya tidaklah sesenang mana namun ada yang jauh lebih susah daripada saya. Saya rasa, dengan cara kita membantu orang, kita juga membantu diri kita sendiri sebenarnya, bahkan akan memperoleh kebahagiaan dunia dan di akhirat.

Percayalah... dan akan saya cerita kisah bantu-membantu ini, di penulisan yang lain.

Dulu permohonan saya untuk 'belajar' menjadi motivator di sebuah syarikat konsultan terkenal pernah ditolak mentah-mentah, memandangkan siapalah saya...

Ya baru saya perasan, bahawa dunia dan masyarakat mahu tahu 'siapa' saya dan apa kehebatan dan latar belakang saya, sebelum membuahkan tutur bicara atau mula 'memandai-mandai' menasihatkan orang!

Selepas tamat persekolah tingkatan lima, saya bersama seorang rakan berhasrat memulangkan kembali jasa baik sekolah mendidik saya, dengan cara memberi kursus motivasi secara percuma dan menyuntik inspirasi kepada para pelajar.

Tapi apa kan daya, niat baik itu ditolak mentah-mentah juga oleh pihak pentadbiran sekolah, kerana 'siapa' saya untuk berkata-kata...

Walaupun sekolah, syarikat atau orang lain tidak memberi peluang kepada saya, tetapi Allah jualah memberi peluang kepada saya selama setahun untuk 'memotivasi' 7 orang bekas penagih dadah di pondok saya melanjutkan pelajaran..

Usia mereka di lingkungan 27 sehingga 45 tahun dan rata-ratanya sukar mengenali "Alif Ba Ta' apatah lagi untuk membaca al-Quran. Namun sedaya upaya saya lakukan kerana Tuhan telah memakbulkan cita-cita.

Hasilnya hanya seorang daripada mereka berjaya melepasi ketagihan yang amat dan menjadi orang yang berguna manakala selebihnya kecundang semula.

Berita yang saya terima seorang telah meninggal dunia akibat kesan ketagihan dadah, dua orang sedang menghadapi tuduhan membunuh, seorang pernah ditemui berpeleseran di kaki sampah.

Sedih juga, kerana saya tidak berjaya mencapai hajat untuk memulihkan mereka. Tetapi, bukan semua atas kemampuan saya kerana, yang paling hebat ialah urusan Allah swt.

Bila dikenang kisah Nabi Isa a.s yang berdakwah sepanjang hayatnya, tidak sampai 20 orang yang taat dan menjadi pengikutnya, maka hati saya reda semula. Apatah lagi saya, hamba biasa yang serba kekurangan ini.

Kemudian ketika berkerja di Harakah, Allah beri 'peluang' saya mengajar 'Harfiah' di sebelah malam dan selama setahun saya sempat mencebiskan sedikit ilmu kalam Allah kepada 6 orang pelajar terdiri daripada wanita-wanita berusia sebaya bonda saya.

Itulah antara kepuasan yang Allah berikan yang secara tidak langsung sekaligus menjadi motivator tak bertauliah.

Dengan cara saya mengajar dan membantu orang, saya perolehi pelbagai rahmat Allah yang tidak saya duga, baik dari segi rezeki, kesihatan dan masa depan yang begitu baik.

Ada orang bertanya saya, apa yang saya dapat sedangkan diri sendiri pun ada masalah malah semua orang ada masalah?

"Selesaikan dulu hidup awak sebelum nak bantu orang lain....," itulah kata-kata pelemah semangat yang saya terima.

Bagi saya, jika kita berusaha membantu orang lain dengan cara dan kemampuan kita, insya-Alah masalah-masalah yang kita hadapi, Allah akan selesaikan dengan mudah tanpa kita sedari...percayalah....

Bawa artikel ke majlis usrah

Kadang-kadang saya seolah-olah pandai menitipkan kata nasihat dan semangat tetapi tatkala saya dirundung masalah, saya juga manusia biasa yang hilang punca dan terpinga-pinga.

Mujurlah ianya tidak lama, kerana sesudah itu Allah banyak membantu saya sama ada secara tunai, cepat ataupun lambat...percayalah...Oleh itu, saya berusaha untuk menulis, menulis dan tulis lagi demi mencapai cita-cita untuk membantu yang lain.

Ada kalanya saya rasa mahu berundur dan berhenti menulis, tetapi ketika menerima kunjungan dan pencetus inspirasi dari lebih 85 pembaca yang memberi maklumbalas atas artikel saya, saya menjadi lebih bersemangat untuk menulis.

Macam-macam. Ada yang mahu belanja saya makan ikan patin di Pahang, ada pelajar dari Scotland dan Autralia yang mengambil inisiatif, mencetak semula artikel saya untuk dijadikan insiprasi. Malu juga dibuatnya.

Tidak kurang juga yang mengajukan masalah agama dan hal-ehwal rumahtangga untuk saya selesaikan. Masya-Allah.

Lebih terharu dan rasa berbesar hati, apabila ada artikel saya yang 'sudi' dimuatkan di laman web I luv Islam.com dan disiarkan semula di blog-blog mereka yang membuatkan saya rasa bersalah.

Rasa bersalah kerana kerana tulisan saya bukanlah setara mana jika dibandingkan yang lain. Malu pun ada, teruja juga ada. Jazakhullah hukhairon khathiro.

Tidak kurang juga yang mencemuh, yang menuduh saya mencari publisiti dan lain-lain lagi.

Saya tertarik dengan kritikan seorang pembaca yang dikenali sebagai Engku, bahawa artikel saya sering 'dibahas' di dalam usrah yang dihadiri oleh lebih 10 sahabat di ibu kota.

Malangnya, kata Engku, sehingga kini hanya 3 orang sahaja yang berminat mengikuti artikel saya dan selebihnya telah kecewa dan berundur diri kerana tidak puas hati dengan tulisan saya itu.

Alhamdullilah. Sesungguhnya soal hati bukanlah urusan saya, bahkan kita kembalikan kepada Pencipta hati itu untuk memberi apa jua petunjuk dan hidayah.

Malah saya sendiri akui, tulisan saya penuh cacat cela dan kelemahan...

Ketika Syawal ketujuh, saya menerima satu panggilaan kira-kira jam 11.45 malam daripada seorang kawan yang dikenali sebagai Cikgu Anuar.

Menceritakan bahawa artikel saya telah dibaca oleh iparnya yang berkerja dan melanjutkan pelajaran di Mesir. Iparnya yang berniaga kecil-kecilan telah menjadikan artikel saya sebagai 'inspirasi' untuk menempuh pahit maung di sana dan akan kembali ke Malaysia untuk bertemu saya.

"Min...dia jadikan tulisan kau sebagai rujukan dan akan menjadikannya koleksi sumber semangat," ujar Cikgu Anuar sehingga berkaca mata saya. Rasa cukup terharu dengan penghargaannya.

Rupanya, walaupun tidak berkesempatan menjadi motivator seperti yang dihajatkan , tetapi dengan kalam dan penulisan juga dapat saya salurkan segala ceritera, cebis-cebis dan kisah dula lara, suka ceria untuk dijadikan pemangkin semangat buat semua.

Sebelum berundur diri, kepada semua pembaca, peminat, pengkritik dan yang telah menghantar email kepada saya, saya ucapkan Maaf Zahir Batin, sekiranya tulisan saya telah menyinggung sesiapa tanpa saya duga...

Hajat di hati dan niat saya untuk menjadi wartawan ataupun penulis, ialah sekadar melakarkan pelangi, di sebalik awan mendung.

Sesungguhnya, walaupun langit tidak selalunya cerah tetapi mendung pasti berlalu jua...

Sungguhpun mungkin tidak seberapa dan kecil sahaja, saya harap dapat dimafaatkan sebaik-baiknya. Jika saya tersilap Allah jualah yang menghukum saya, dan jika saya benar maka untuk kebahagiaan kitalah di dunia dan akhirat...

(Sebarang pandangan, teguran dan idea, bolehlah dimajukan kepada saya di azaminamin@yahoo.com dan urespons@gmail.com)

Tiada ulasan: