"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Inkues Teoh: ASP Nazri nafi sembunyi maklumat tapi tiada arahan AG

SHAH ALAM, 14 Okt: Pegawai Penyiasat yang memberi keterangan dalam kes inkues Teoh Beng Hock hari ini memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak pernah menyembunyikan atau menyimpan apa-apa maklumat walaupun nota yang dikatakan ditulis oleh Teoh tidak dikemukakan lebih awal ke mahkamah itu.

ASP Ahmad Nazri Zainal berkata ketiadaan arahan lanjut daripada Pejabat Peguam Negara berkaitan nota itu adalah disebabkan dirinya yang tidak memberi penjelasan lebih awal.

Pada prosiding lalu, Ahmad Nazri menjelaskan bahawa pada awalnya beliau menganggap nota yang dijumpai di dalam beg sandang Teoh itu tidak penting dan hanya berusaha mencarinya semula selepas tiga bulan kematian Teoh iaitu selepas mendapat nasihat pakar psikiatri.

Ditanya peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Teoh adakah kelewatan mengemukakan nota itu sebagai eksibit merupakan teknik “menyembunyikan” oleh Pejabat Peguam Negara, Ahmad Nazri berkata: “Saya tidak tahu, tetapi yang saya tahu nota tersebut akan ditanda bila pegawai penyiasat memberi keterangan, lain-lain saya tidak tahu.”

Pada peringkat awal Ahmad Nazri menjelaskan bahawa beliau telah menjumpai nota berkenaan pada 7 Oktober 2009 dan memaklumkan kepada pihak Pejabat Peguam Negara sehari selepas itu.

Ditanya Gobind siapakah yang membuat keputusan supaya nota itu tidak dikemukakan dan adakah daripada Pejabat Peguam Negara, Ahmad Nazri berkata: “Ya.”

“Sebagaimana saya beritahu saya tidak boleh memberi penjelasan bagi pihak pejabat Peguam Negara. Saya tahu ia akan ditanda juga di mahkamah. Mungkin sebab saya tidak dapat memberi penjelasan di peringkat awal sebab itu ia tidak ditandakan,” katanya.

Akibat Gobind kerap mempersoalkan ketelusan pihak polis dalam mengemukakan bahan bukti, Ahmad Nazri berkata sekiranya tiada kejujuran, beliau tidak perlu membuat laporan mengenai kandungan nota tersebut dan boleh mendiamkannya sahaja.

“Jika kamu kata macam itu (ketidaktelusan pihak polis), ketika saya jumpa surat (nota) tu tidak seorangpun dalam dunia ni tahu tetapi saya jujur dan saya buat laporan polis mengenai perkara ini,” katanya.

Gobind yang memuji tindakan Ahmad Nazri itu bagaimanapun masih mempersoalkan kelewatan tersebut kerana berpendapat jika ia dikemukakan lebih awal pihaknya mampu mempersoalkan cara pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Teoh.

Antara kandungan nota yang dikatakan ditulis Teoh itu menyatakan bahawa beliau meminta maaf, sangat penat dan selamat tinggal.

Ahmad Nazri berkata beliau tidak menyiasat kandungan surat itu dan tidak mengetahui apakah tujuan nota itu disimpan walaupun telah dilaporkan sejak setahun lalu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Exco kerajaan negeri Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai tahun lalu di tingkat lima, Plaza Masalam selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14 bangunan sama.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas disambung pada 22 Oktober. 
-Bernama-

Tiada ulasan: