"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Saksi kes kematian Aminulrasyid dengar 10 tembakan

SHAH ALAM 14 Okt: Seorang saksi dalam perbicaraan kes seorang anggota polis dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, 15, di Seksyen 11 di sini 26 April lepas, memberitahu Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini bahawa beliau terdengar lebih 10 tembakan pada hari kejadian.

Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berkata, beliau terdengar bunyi seakan-akan letupan mercun itu diselangi dengan bunyi siren kereta polis sebelum mendengar bunyi dentuman seperti bunyi objek melanggar dinding.

"Ketika sedang membuat kerja di komputer di tingkat dua rumah saya, saya terdengar bunyi seperti ”tap” yang datang dari arah Jalan Tarian 11/2, dan kemudian mendengar bunyi ”tap-tap-tap-tap-tap” secara berterusan yang makin lama makin kuat dan dekat menghampiri rumah saya.

"Seterusnya bunyi itu diselangi dengan bunyi siren polis dan bunyi siren polis pun makin lama makin kuat kedengaran. Akhir sekali saya dengar bunyi dentuman yang sangat kuat seperti bunyi objek melanggar dinding,” katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar.

Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lepas.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. 
-Bernama-

Tiada ulasan: