"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perkhidmatan awam jadi agen parti pemerintah

Detikdaily
KONTROVERSI yang timbul ekoran kenyataan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain yang membidas Dewan Pemuda PAS kerana mendedahkan penipuan undi pos di kalangan tentera membangkitkan banyak persoalan. Ini termasuk kedudukan dan kesetiaan anggota tentera khususnya dan perkhidmatan awam umumnya. TARMIZI MOHD JAM menemui pakar perlembagaan Profesor Dr Abdul Aziz Bari untuk mendapat penjelasan mengenai isu-isu rumit itu.

ATM adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan; apakah ia mempunyai keistimewaan tertentu berbanding dengan cabang perkhidmatan awam yang lain seperti pasukan polis, bomba, guru-guru, para doktor dan jururawat, pegawai PTD dan sebagainya...

DR ABDUL AZIZ BARI: Tidak ada perbezaan, tetapi oleh kerana angkatan tentera mempunyai fungsi dan tugas tertentu ia mempunyai undangundang dan peraturan yang tersendiri. Ini termasuk umur persaraan dan seumpamanya.

Begitu juga dengan undi melalui pos yang menjadi isu itu. Tetapi ini semua diizinkan kerana tugas dan persekitaran mereka; bukan sengaja dibuat untuk memberi kelainan tanpa sebab.

Apa kaitan dan hubungan perkhidmatan dengan kerajaan yang memerintah, baik di peringkat Persekutuan atau negeri?

Hubungannya ialah perkhidmatan awam itu adalah sebahagian kerajaan atau eksekutif. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kakitangan awam boleh digunakan sesuka hati oleh kerajaan yang memerintah untuk kepentingan mereka.

Kakitangan awam adalah milik rakyat dan pembayar cukai. Dan sebenarnya perkhidmatan awam itu diwujudkan untuk melindungi rakyat; supaya perkhidmatan dapat diberikan secara profesional dan tidak mengikut kepentingan politik.

Cuba kita bayangkan kalau polis hanya memberi khidmat kepada ahli-ahli Umno sahaja sedangkan gaji anggota polis dibayar oleh semua rakyat tanpa mengira anutan politik mereka. Begitu juga dengan perkhidmatan kesihatan atau bomba.

Sebab itu pada hakikatnya perkhidmatan awam ini adalah sejenis perlindungan untuk semua rakyat; yakni supaya apa pun parti politik yang menjadi kerajaan perkhidmatan awam tetap tidak memihak dan memberi khidmat secara profesional mengikut merit.

Antara isu penting yang berbangkit ialah soal kesetiaan dan dalam soal ini perkhidmatan awam hanya perlu setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja masing-masing. Apa perbezaan antara setia dan menjalankan perintah ini?

Kesetiaan dan menurut perintah ini boleh jadi dua perkara yang berbeza. Kesetiaan adalah sesuatu yang abstrak dan kesetiaan ini hanya untuk negara.

Lambang bagi negara ialah Yang di-Pertuan Agong dan Raja- Raja atau Yang Dipertua Negeri kalau di peringkat negeri. Tetapi mereka secara umumnya tidak mengeluarkan perintah kerana mereka tidak memerintah. Yang memerintah atau lebih tegas mentadbir ialah kerajaan. Sebab itu manakala kesetiaan diberikan kepada negara kepatuhan perintah boleh diberi kepada kerajaan. Tetapi kita kena ingat hanya perintah yang sah di sisi undang-undang sahaja yang boleh diikut.

Bagaimana dengan memangkah kertas undi orang lain?

Memangkah kertas undi orang lain adalah salah; ia adalah jenayah dan tidak boleh dipatuhi. Bahkan sepatutnya perbuatan itu dilaporkan kepada pihak yang berkenaan.

Kerajaan tidak boleh memaksa kakitangan awam membuat apa yang diperintahkannya atas nama kesetiaan. Kerajaan tidak berhak menuntut kesetiaan. Negara dan kerajaan adalah dua entiti yang berbeza. Sebab itu kita boleh benci kerajaan dan dalam masa yang sama sayang dan cinta kepada negara.

Mengapa ramai yang keliru dengan kedua-dua perkara itu?

Kekeliruan itu timbul kerana Umno-BN terlalu lama memerintah; jadi rakyat tak dapat bezakan antara negara dan kerajaan. Dalam pada itu oleh kerana terlalu lama memerintah mereka jadi angkuh dan bongkak dan berupaya menakut-nakutkan institusi-institusi yang sepatutnya bebas dan berintegriti.

Apabila istana, kehakiman, perkhidmatan awam, dan badanbadan tertentu seperti SPR sudah jadi alat maka rakyat semakin kabur dan apa yang kita katakan ini tidak dapat mereka lihat.

Ada yang mendakwa bahawa setia kepada Raja itu ertinya setia kepada kerajaan kerana Raja mengikut nasihat kerajaan...

Dakwaan itu kurang tepat. Ini kerana bukan semua tindakan kerajaan itu betul.

Memang tindakan kerajaan ada yang dibuat atas nama Yang di-Pertuan Agong tetapi jika ini melanggar undang-undang tindakan itu boleh dipersoalkan atau dibawa ke mahkamah.

Dalam pada itu Yang di- Pertuan Agong atau Raja boleh engkar nasihat kerajaan jika nasihat itu bertentangan dengan undang-undang. Kita kena jelas bahawa meskipun tindakan kerajaan dibuat atas nama raja ini tidak bermakna raja semestinya kerajaan dan kerajaan itu raja.

Ada masa-masa Raja dan kerajaan itu adalah dua entiti yang berbeza. Berbalik kepada undi pos itu apa yang menjadi isu sekarang ialah dakwaan wujudnya penipuan dan penyelewengan dalam pengendalian undi pos.

Saya tidak fikir wajar Yang di-Pertuan Agong diseret untuk mempertahankan jenayah yang berlaku itu.

Jadi tanggapan yang mengatakan kakitangan awam mesti setia dengan kerajaan yang memerintah itu tidak betul?

Tidak betul, kakitangan awam tak perlu setia dengan kerajaan itu walaupun mereka perlu buat kerja yang diperintahkan. Sebab itu kakitangan awam boleh sokong dan undi pembangkang.

Sebab itu saya selalu katakan kewajipan aku janji yang Mahathir buat pada tahun 2000 itu salah dan bertentangan dengan Perlembagaan. Apa yang betul ialah sikap yang ditunjukkan, contohnya oleh Kerajaan Negeri Kedah; mereka mahu kakitangan awam bekerja tetapi tegas mengatakan bahawa kakitangan awam di negeri itu tidak perlu menyokong PAS.

Pendekatan yang diambil oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Azizan Razak ini betul dan tepat di sisi Perlembagaan.

Apa masalah kita sebenarnya?

Saya fikir masalah yang kita hadapi ialah apabila ada pihak yang tidak konsisten dan hanya merujuk kepada undang-undang apabila ia menguntungkan mereka. Malang sekali Umno-BN dalam keadaan terdesak menyeret raja dan macam-macam lagi.

Saya ingin ulangi bahawa Panglima ATM silap dalam menangani dakwaan penipuan undi pos ini. Sebagai ketua sebuah jabatan kerajaan beliau sepatutnya berhemah; yakni membuat siasatan. Bukan menghentam pihak yang cuba membanteras penipuan itu.

Adalah tidak wajar bagi Panglima ATM melabel bekas tentera dan pihak tadi pengkhianat negara.

Saya fikir pengkhianat sebenar ialah mereka yang tidak mahu mengambil tindakan membanteras perkara terkutuk itu.

Berbalik kepada hubungan antara kakitangan awam dengan kerajaan ada yang mendakwa bahawa mereka perlu bekerja dan membantu kerajaan yang dipilih...

Ya, itu betul. Tetapi soalnya mengapa kerajaan Persekutuan yang dipimpin oleh Umno-BN membuat sabotaj di Kelantan, Selangor dan Pulau Pinang?

Mengapa mereka tidak konsisten?

Kalau mereka benarbenar komited dengan kedudukan perkhidmatan awam itu mereka tidak harus melakukan sabotaj melalui pegawai-pegawai kerajaan sebagaimana yang telah kita saksikan banyak kali di Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Di Perak, ia malah sampai ke tahap menjatuhkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara sah. Kita juga kena sedar bahawa ada kalangan kakitangan awam yang hipokrit. Mereka kata mereka sekadar bekerja membantu kerajaan yang sah. Yang jadi masalah ialah mengapa mereka mesti bersekongkol melakukan perkaraperkara yang menyalahi undangundang yang diperintahkan oleh Kerajaan Persekutuan?

Mengapa ini boleh terjadi?

Pegawai-pegawai itu sebenarnya hendak membodek Umno-BN dan berdalih kononnya hendak membantu kerajaan yang sah dipilih rakyat.

Mereka tidak konsisten. Pasukan polis sebagai contoh; mengikut undang-undang kerja polis ialah mempastikan wujudnya keamanan dan ketenteraman supaya demokrasi dapat berjalan.

Tetapi apa yang berlaku? Mereka kacau program pembangkang. Mereka kasari Himpunan Aman Bersih 2.0 yang aman, yang mahu menuntut pilihan raya yang bersih. Dalam masa yang sama polis tidak buat apa-apa terhadap para penyokong Umno-BN yang bertindak ganas dan mengeluarkan pelbagai kenyataan yang rasis dan menghasut.

Ini contoh klasik di mana perkhidmatan awam menjadi agen parti pemerintah; sesuatu yang jelas melanggar perlembagaan. Tetapi apa yang kita boleh buat? Hendak ke mahkamah? Saya fikir kita semua tahu apa hasilnya.

Tiada ulasan: