"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mat Sabu : Kisah Mat Indera Makin Popularkan Saya

SHAH ALAM, 6 SEPT: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Mat Sabu atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu menganggap pelbagai tuduhan dan dakwaan yang dikenakan ke atasnya berhubung isu Mat Indera tidak sama sekali menjejas kedudukannya dalam bidang politik, sebaliknya lebih meningkatkan popularitinya.




Menurut beliau, sejak isu Mat Indera yang disifatkannnya sebagai pejuang sebenar kemerdekaan, beliau menerima pertambahan sokongan dari kalangan blogger yang menyokong pendiriannya itu.

Menyentuh mengenai gesaan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammudin Hussein agar sesiapa yang merasa tersinggung dengan kenyataan Mat Sabu berhubung tragedi serangan Balai Polis Bukit Kepong lebih 60 tahun lalu, Mat Sabu berkata, beliau sedia menerimanya.

“Tak ada masalah, kalau mereka nak saman  itu hak mereka, kita pun sudah menawarkan peguam untuk mereka kalau mereka nak tuntut pampasan dari kerajaan British. Kita sanggup menyediakan peguam.

"Ada peguam yang sanggup membela mereka tuntut pampasan daripada kerajaan British, mereka dulu bukan dalam kerajaan Malaya, kerajaan British," katanya kepada Tv Selangor.

Hishamuddin semalam berkata, tindakan saman di mahkamah mungkin antara yang boleh dilakukan oleh pihak yang tersinggung terutamanya anggota keluarga pejuang kemerdekaan negara serta persatuan-persatuan bekas polis.

"Saya rasa pihak yang berkepentingan perlu mengambil tindakan kerana kadangkala nak tunggu siasatan dari pihak polis dan Peguam Negara mengambil masa.

"Ramai yang kecewa dengan kenyataan Mat Sabu, dan saya sendiri sebagai cucu Datuk Onn (Jaafar) terasa terhadap dakwaan-dakwaan yang berunsur politik, tapi ada had dan batasan dalam nak politikkan sesuatu. Lebih-lebih lagi bila ianya bersandarkan kepada sejarah," katanya kepada pemberita semalam.

Dalam pada itu, muka tujuh Utusan Malaysia hari ini turut  menyiarkan berita bertajuk  “Persatuan Bekas Polis Malaysia Kuantan labelkan Mat Sabu sebagai komunis era baru".

Mengulas laporan akhbar itu, Mat Sabu menerimanya dengan hati terbuka dan sekali lagi menegaskan, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada dirinya.

Bahkan katanya, PAS sendiri pernah dicop sebagai komunis oleh mantan Perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Mereka cop (PAS), tak ada masalah, Tuan Guru Bakar Bakir dulu pun dicop komunis. Dr Burhanudin mereka tuduh komunis. Itu bukan perkara baru, ulang siaran daripada British," tambah beliau.

Menyentuh soal debat berhubung isu ini, Mat Sabu berkata, beliau hanya mahu berdebat dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Saya pun tak tau kalau (saya kena) debat dengan Khairy (sebab) selama ini Khairy bukannya maki saya, tetapi  yang maki saya  Timbalan Perdana Menteri, kalau nak debat pun biarlah dengan dia," tambah beliau lagi.

Ujarnya, Umno kini menggali lubang sendiri dan akhirnya akan memakan diri sendiri dalam usaha menguburkan karier politiknya.

“Makan diri.. mereka sedang gali lubang. Macam dalam kes Mat Indera dia telah kalah. Mat Indera diiktiraf sebagai pejuang oleh negeri Johor.

“Memanglah, Umno itu pengampu British. Orang menghentam British  duduk dalam penjara, orang Umno tidak dipenjarakan kerana dia pengampu," katanya lagi.
-tvsnews-

1 ulasan:

Unknown berkata...

Syabas! Lagi mereka kutuk Mat Sabu, lagu menyerlah siapa tokoh Mat Indera tu. Semua orang belajar sejarah dek Cikgu Mat Sabu. Orang Umno tak faham sejarah. Benda salah pun nak ditegakkan. Sudah terbukti, bahawa Mat Indera adalah hero. Kerajaan Johor pun ikriraf jasanya. Apa lagi nak? Umno memang gelabah. Kalau boleh buku tu nak dibakar aje. Sebenarnya banyak lagi buku dalam PNM yang perlu disemak. Lagi gelabah Umno. Kalau Berita Harian milik Umno pun dah tulis kisah Mat Indera, apa lagi nak pusing fakta? Inilah politik. Dek kerana Umno sejarah boleh dipinda-pinda disesuaikan dengan citarasa mereka. Apa kata kita tukar tarikh kemerdekaan kita, perjuangan menuntut kemerdekaan MALAYSIA masih belum berjaya, rakyat masih dijajah oleh Umno.