"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bn Bakal Tersungkur di PRU13

Aspan Alias
Saya agak sibuk dua tiga hari berada di Kedah bersama-sama rakan-rakan dan sahabat dari PAS dan PKR mengadakan majlis penerangan dan ceramah. Saya bersama rakan saya Ahmad Rosli Ibrahim dari Kelantan dan Tamrin Ghaffar berjumpa dengan orang ramai di negeri jelapang padi itu. Majlis-majlis makan malam dan ceramah itu telah mendapat sambutan ramai terutamanya di Jerlun dan Padang Terap.

Dalam pada sibuk mengadakan ceramah kami juga sibuk mengikuti perhimpunan agong parti MCA selama dua hari dan mengikuti apa yang berlaku dalam persidangan itu. Persidangan tahunan MCA itu memang menjadi tumpuan buat saya kerana persidangan itu merupakan sidang tahunan yang terakhir bagi parti itu sebelum pilihanraya umum ini dan ia mungkin juga menjadi persidangan yang terakhir yang diadakan dalam keadaan semeriah dua hari yang lepas.

Selepas pilihanraya nanti parti ini mungkin akan mengadakan perhimpunan agongnya dalam suasana hambar kerana parti ini dijangka akan kalah lebih teruk lagi dalam pilihanraya kali ini. Ramai yang meramalkan yang MCA akan kehilangan lebih daripada separuh saki baki kerusi yang ada sekarang yang jumlahnya hanya 15 sahaja. Suasana di dalam perhimpunan parti itu jelas menunjukkan yang MCA sedang bertungkus-lumus dan bermati-matian untuk bertahan walaupun tidak ada siapa pun yang mempunyai keyakinan yang parti itu akan berjaya menarik sokongan rakyat khususnya dari kaum Cina.

Chua Soi Lek menumpukan usaha untuk menarik sokongan dengan mensensasikan isu hudud dan beliau jelas tidak menghormati agama Islam di negara ini. Tidak menghormati Islam itu bermakna tidak menghormati orang Melayu yang merupakan penduduk dan rakyat yang terbesar di negara ini. Soi Lek telah memberikan ingatan kepada kaum Cina yang jika PR mendapat mandat negara, kita akan hancur dan tidak selamat kerana undang-undang Islam yang beliau anggap sebagai zalim itu.

Najib pula tidak berani mempertahankan Islam yang selama dua hari dikecam oleh MCA dan beliau bersama-sama bersekongkol dengan MCA dan Soi Lek dengan membiarkan sahaja agamanya dihina dan dicerca secara terbuka oleh MCA yang begitu jelas sebagai sebuah parti yang ‘chauvinistic’ agama itu. Kesedihan dirasakan oleh ramai orang Melayu kerana pemimpin besar negara yang Islam menjadi agama rasminya dihina oleh sahabat UMNO dalam BN itu.

Najib dan BN begitu terdesak dan tidak berdaya mempertahankan agamanya sendiri dan tidak berani menegur dan menasihati Chua Soi Lek supaya tidak menyentuh perasaan orang Islam semata-mata kerana kepercayaan beliau yang MCA akan memberikan kemenangan kerusi yang parti itu tandingi dalam pilihanraya yang akan datang. Najib tidak berani mempertahankan agamanya kerana politik dan beliau seperti juga Dr Mahathir telah memberikan pendirian yang BN tidak akan melaksanakan hudud itu selagi BN memerintah negara ini.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cabaran Najib agar DAP bertanding di kawasan yang majoriti pengundinya orang Melayu. Persoalannya bagaimana DAP hendak melakukannya kerana DAP hanya bertanding lebuh kurang 50 kerusi sahaja dalam pilihanraya kali ini. Tetapi sebaliknya Najib boleh membuktikan yang beliau benar-benar mendapat sambutan dengan meletakkan calon BN (Melayu) dalam kawasan majoriti Cina. Nanti kita boleh saksikan samada Najib mendapat sokongan penuh rakyat. Najib tidak sepatutnya bercakap besar kerana beliau belum pun diuji dan mendapat ‘endorsement’ terhadap kepimpinannya. Beliau merupakan satu-satunya PM negara ini yang ‘unelected’ dalam sejarah kemerdekaan kita.

Najib tidak mahu mengingatkan MCA dan Chua Soi Lek yang selama ini MCA hanya memenangi kerusi dalam pilihanraya di kawasan-kawasan Melayu kerana MCA jarang-jarang memenangi kerusi di kawasan majoriti Cina selepas pilihanraya 1964 dahulu. Setelah kecundang di dalam pilihanraya 1969 dahulu MCA terpaksa meletakkan pemimpin-pemimpin utamanya di kawasan Melayu..

MCA telah lupa ini semua dan Najib pun agaknya tidak tahu kerana semasa Perikatan kalah teruk di banyak kerusi pada PRU 1969 dahulu Najib masih main karom lagi. Apabila bangsanya sendiri sekarang telah menolaknya MCA sekarang membalas jasa orang Melayu itu dengan menghina agamanya terang-terangan. Kenapa Najib tidak bersuara dan kita hendak juga mendengar suara Ketua Pemuda UMNO untuk memberikan reaksi kepada kenyataan Chua Soi Lek di persidangan tahunan MCA itu. Ketua Wanita juga senyap sunyi dan Ketua Puteri lebih lagi senyap dan tidak pun menyedari yang agamanya telah dihina oleh Chua Soi Lek dan MCA.

MCA sedang dalam keadaan terdesak dan UMNO pun dalam keadaan terdesak. Kedua-dua UMNO dan MCA menggunakan menentangan terhadap Islam sebagai salah satu kaedah untuk mendapatkan sokongan kaum Cina, sedangkan kaum Cina tidak lagi mahu menunjukkan muka kepada parti chauvinis MCA itu. Kita boleh bertahan dengan cara-cara lain, tetapi bagi Najib dan UMNO membiarkan MCA bebas melakukan penghinaan ini adalah penampilan yang amat tertekan dan mendesak.

Selama ini pimpinan UMNO selalu membuat tuduhan terhadap DAP sebagi parti yang anti Islam dan anti Melayu tetapi pimpinan UMNO membisu seribu bahasa dan membiarkan MCA bermaharajalela untuk memperkecilkan Islam dengan terbuka. DAP di sebaliknya telah mengambil pendirian rasmi untuk menghormati agama Islam sebagaimana Islam menghormati agama lain. Hanya Karpal Singh sahaja yang membuat pendirian peribadi beliau tidak menyokong undang-undang hudud ini.

Kita boleh membuat rumusan yang UMNO merupakan parti Melayu yang menentang hudud kerana Najib pernah berjanji selagi BN memerintah BN tidak akan melaksanakan hukum hudud dan UMNO tidak menentang tentangan MCA terhadap hukum Allah SWT itu. Di sebaliknya DAP pula yang memberikan pendirian untuk menghormati agama lain seperti agama kita menghormati agama dan seperti Islam menghormati agama lain. Pendeknya DAP tidak menghalang PAS dan orang Melayu untuk melaksanakan hudud itu dan pendirian ini lebih baik daripada pendirian UMNO itu sendiri.

Itulah sebabnya saya selalu berkata yang seburuk-buruk Pakatan Rakyat ia lebih jauh baiknya dari yang terbaik dari UMNO dan BN itu. Lain-lain perkataan PR merupakan pilihan yang lebih baik untuk menjadi pilihan rakyat untuk meletakkan harapan bagi mendapatkan kesederhanaan dalam kehidupan bernegara.

Akhirnya kita hanya mempunyai satu pilihan untuk mendapatkan kesederhanaan itu dan bangsa-bangsa lain pula lebih selamat dengan kesederhanaan dan kesempurnaan Islam itu. Jika PAS mampu untuk bermuafakat dengan baik dengan bangsa-bangsa bukan Melayu dan bukan Islam maka tidak ada sebab lagi PR tidak mendapat sokongan dari orang Melayu dan semua bangsa dalam negara ini yang mahu hidup dalam sebuah negara yang bersatu-padu.

Buat masa ini hanya PR sahaja yang mampu menjayakan matlamat negara yang ‘ultimate’ iaitu mewujudkan ‘national unity’ yang menjadi idaman kita semua selama ini.

Tiada ulasan: