"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anak cucuku, jangan kerja dengan SPR!

Subky Latif
SAYA berpesan kepada anak-anak dan cucu saya, janganlah minta kerja dan bekerja dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekali pun jadi budak pejabat!

Kecuali jadi tukang sapu, bersihkan pejabat dan bangunannya.

Jika kerja lain, daripada menganggur atau bagi mengelakkan daripada mencuri dan menyamun supaya dapat rezeki untuk menanggung anak dan isteri, bangun pagi-pagi pergi ke tempat buang sampah, carilah barang-barang yang boleh dikitar semula dan yang laku dijual.
Saya terbaca kisah seorang ibu tunggal di Kelantan, pagi-pagi gelap lagi, dia pergi menyelongkar sampah-sampah terbuang, mencari apa yang boleh dipungut yang boleh dijual. Alhamdulillaah, dia dapat menyara anaknya sekolah.

Mungkin orang melihat kerja itu kotor dan menjijikkan, tetapi apa juga pekerjaan yang halal dan tidak jenayah adalah mulia. semua orang simpati pada ibu tunggal itu, dia tidak minta sedekah, dia tidak mencuri dan dia menyakiti hati sesiapa. Yang lebih penting dia merdeka dan tidak jadi hamba kepada sesiapa.

Kerja itu lebih baik daripada jadi Pengerusi, Pengarah dan Setiauaha SPR.

Jika jadi Pengerusi atau Setiausaha SPR, boleh gaji besar, motokar besar dan berbagai-bagai kemudahan sebagai orang senang. Disayangi Perdana Menteri dan menteri-menteri, disukai oleh pemimpin-pemimpin Umno dan BN, kebanyakan orang hina dan keji. Orang maki dan sumpah.

Mungkin yang menyumpah dan maki hamun SPR itu pembangkang dan penyokong yang sentiasa dikalahkan dalam pilihan raya. Ertinya yang menyumpah itu minoriti. Apa nak dihiraukan orang minoriti itu?

Tetapi dalam PRU12 dulu undi popular BN 51+ peratus saja. Ini bererti undi popular pembangkang 48+ peratus. Bukan seorang dua yang menyumpah, itu hampir separuh daripada orang keluar mengundi. Ini tidak termasuk orang yang kecewa dan putus asa, tidak keluar mengundi justeru benci dan getiknya kepada SPR.

Seronokkah apabila disumpah orang? Separuh daripada penduduk Malaysia menyumpah, mendoakan tidak selamat dunia akhirat.

Kita tidak dapat hendak menghalang orang benci dan menyumpah kita, tetapi kerana terlalu ramai orang menyumpah kita, malaikat pun nescaya ambil perhatian kepada sesiapa terlalu ramai orang menyumpahnya.

Mungkin pengendali SPR itu berkhidmat dengan jujur, ikhlas demi negara, bangsa dan agama. Tetapi selagi khidmat itu di bawah tadbir Umno dan BN, orang tidak percaya akan jujur dan ikhlas itu.

Orang kata ia kaki bodek, pengampu, orang suruhan, hamba abdi dan macam-macam. Malah ada yang kata sekesat ‘barua!’

Orang beriman, beradab dan bersantun, pengamal wasatiyyah dan Islam Hadhari tidak baik berkata kesat. Tapi apa yang hendak dikata kerana orang-orang itu memang marah dan getik kepada amalan dan khidmat SPR itu.

Apa yang orang marah sangat SPR? Tak usaha ceritalah apa yang mereka marah kerana yang SPR buat. Apa yang SPR buat pun tak usaha ceritalah. Semua tahu. Dato' Ambiga tahu dari A sampai Z. Dato' A Samad Said boleh cerita dari alif sampai ya.

Tengku Razaleigh Hamzah dan Dato' Rais Yatim pernah menentang Umno dalam PRU 1990 dan 1995. Mereka pun tahu luar dalam apa yang SPR buat.

Kalau Polis Cawangan Khas bebas melaporkan apa yang disiasatnya, tidak tahu setebal mana laporannya tentang SPR sejak Almarhum Tan Sri Mustapa Albakri tidak lagi menjadi pengerusinya sebelum merdeka dulu. Kiranya Almarhum Hassan Ibrahim, Setiasuaha SPR semasa pengerusi Tan Sri Ahmad Perang membuat memoir nescaya banyaklah kisah SPR boleh didedahkannya.

Tak perlu dinyatkan satu persatu apa yang digetik sangat akan SPR.

Sebagai badan bebas yang mengendalikan pilihan raya selain daripada parti yang memerintah, pembangkang dan calon bebas adalah pelanggannya. Di mana-mana di dunia semua mengakui bahawa pelanggan sentiasa di tempat yang benar. Apa juga karenah pelanggan, baik dia gila atau mabuk, ia dikira betul juga. Sebab pelangganlah yang menjadi pengguna semua produk. Maka berhak memillih dan mengata itu dan ini kepada pengeluar dan pembekal.

SPR tidak bersikap pelanggan adalah betul. Yang betul padanya ia saja. Apa yang hendak dibuat dan apa yang patut, ia saja betul dan ia saja menentukan.

Kalau SPR itu penjaja ikan, ia bersikap ikannya saja yang elok dan yang murah, maka pelanggan akan tinggalkan hingga busuklah ikannya. Pelanggan cari penjaja lain.

SPR yang seperti ini tidak terdapat di negara-negara demokrasi kelas dunia seperti Perancis, Jepun dan India. Hatta Bangladesh demokrasi, pentadbiran dan pembangunan di kelas dunia ketiga lebih berintegriti daripada peneraju SPR. Pelanggan di Bangladesh walaupun tidak secanggih Malaysia, mereka lebih berdaulat daripada pelanggan di Malaysia.

Inilah yang menggetikkan orang padanya hingga tidak dibenarkan anak cucu makan gaji dengan SPR. Kalau anak kita jadi polis dan ditakdirkan dia kena bertugas dalam pelaksanaan pilihan raya, saya nasihatkan anak dan cucu saya yang jadi polis cari jalan supaya membebaskan diri seperti cuti sakit atau nikah pada hari mengundi.

Kalau tak, mencari kerja lain menjelang pilihan raya seperti tamat khidmat supaya tidak terlibat dalam subahat dengan khidmat SPR yang tidak disenangi oleh semua.

Saya teringat dengan polis yang menjaga peti undi di Gong Pradong dalam pilihan raya kecil Dun yang berjiran dengan Dun Manir, Terengganu setahun sebelum PRU 1990. Apabila undi ditutup polis hendak membawa peti undi itu ke dewan membilang undi, petugas PAS bekeras hendak mengiring polis membawa peti undi. mereka cuba menghalang polis pergi bersendirian.

Polis tidak sedia ditemani oleh orang lain. Polis berkeras kerana mereka menjalankan tugas. Petugas PAS kata, mereka pun menjalankan tugas juga iaitu tugas parti. Kerana PAS itu parti Islam, mereka yakin mereka menjalankan tugas Islam.

Mereka tahu polis menjalankan tugas, tetap kerana tidak percaya kepada SPR dan mereka juga tidak percaya kepada polis yng menjalankan kerja pilihan raya.

Pekerja PAS beritahu polis bertugas dibayar gaji dan dapat elaun. Mereka bertugas percuma, bahkan mereka berbelanja sendiri. Mereka sanggup mati mempertahankan sikap mahu mengiring ke mana saja peti undi itu dibawa.

Pembangkang sebagai pelanggan kepada SPR mengambil cuti dan meninggalkan pekerjaan untuk menjayakan pilihan raya dan calon. Mereka korban segala-galanya untuk perjuangan. Mereka tidak dapat apa-apa daripada pilihan raya kerana mereka bukan calon, hanya petugas. Tetapi mereka yakin mereka bekerja untuk negara, rakyat dan agama.

Oleh itu mereka hendak melihat pilihan raya dijalankan dengan adil, bersih dan bebas. Kalau kalah pun mereka puas hati. Tetapi kalau mereka dilayan sebagai pelanggan yang hina, maka mereka tidak boleh terima apa yang mereka rasa pengkhianatan dan penipuan.

Sejak sekian lama mereka yakin telah ditipu dan dikhiananti, justeru mereka tidak ampunkan SPR. Apabila antara tujuh hingga lapan juta orang benci pada SPR, adakah SPR tidak berdosa langsung dengan mereka di sisi Allah? Kalau berjuta-juta orang itu berdosa kerana SPR dan dengan SPR, apakah SPR tidak berdosa menyebabkan orang berdosa?

Walaupun saya marah pada SPR, saya ampunkan semua warganya kerana mengampunkan orang lain adalah amalan ahli syurga. Tetapi Lim Kit Siang, Karpal Singh tidak seiman dengan saya dan cerita memaafkan oleh salah bagi mendapat pahala tidak termasuk dalam perkiraannya.

SPR jangan fikir tipu dan khianat orang kafir tidak berdosa. Susah bagi SPR mencari mereka untuk minta ampun di akhirat nanti.

Kerana semua orang marah pada SPR, saya tidak mahu anak dan cucu-cucu dimarahi oleh semua, maka yang terbaik buat mereka jangan bekerja dengan SPR. Kerja dengan Alam Flora boleh dikira lebih mulia.

Tiada ulasan: