"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Talian hayat Najib - Pas Atau Anwar?

Shahbudin Husin
Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah terhadap segala serangan dan kritikan sambil tidak mahu melayannya kerana menganggapnya sebagai tidak berasas, persoalan yang menjadi tanda tanya ramai orang ialah apakah perancangannya untuk menyelamatkan kedudukan UMNO dan BN?

Berdiam dan tidak mahu menjawab persoalan yang kian hari kian besar bersarang di kepala rakyat bukanlah pendirian yang wajar bagi seorang pemimpin.

Ini kerana pemimpin harus bercakap, menjawab dan memberi penjelasan kepada rakyat. Berdiam diri yang mungkin ditafsirkan bahawa semua serangan itu ada kebenarannya hanya melunturkan lagi kepercayaan rakyat.
Semua pemimpin terkenal dalam dunia adalah kerana berjaya menunjukkan kehebatan dan kepintaran berhujah. Tidak ada pemimpin yang dipuji kerana diam, senyap dan bisu.

Ini kerana dalam sistem demokrasi yang mana pemutus akhirnya ialah sokongan rakyat, kemenangan dalam pilihanraya adalah penanda aras baik atau buruknya seseorang pemimpin itu. Lebih-lebih lagi, persoalan yang dihadapi Datuk Seri Najib sekarang yang menjadi sebab kritikan Tun Mahathir ialah juga berkaitan kemampuannya untuk memenangi pilihanraya.

Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu memulakan serangan terhadap Datuk Seri Najib kerana tidak yakin kepimpinannya yang lemah, banyak skandal dan semakin ditolak oleh pelbagai kaum, mampu menjelmakan kemenangan buat UMNO dan BN. Bagi Tun Mahathir penyelesaian mudah bagi masalah ini ialah dengan menukar Datuk Seri Najib sebelum pilihanraya 2018 diadakan.

Sementara menunjukkan sifat lemah iaitu diam, senyap dan tidak menjawab semua persoalan yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, Datuk Seri Najib hanya mengatakan beliau tidak akan menyerah kalah. Beliau juga menyatakan tidak akan melayan segala tuduhan melulu dan tidak berasas yang ditujukan terhadapnya.

Soalnya, apakah pertanyaaan mengenai kehilangan wang 1MDB sebagai tidak berasas dan melulu? Adakah juga pertanyaan mengenai siapa yang memberi arahan kepada Sirul turut dikategorikan tidak berasas dan melulu? Tidak berasas dan melulu jugakan bila dibangkitkan tentang perbelanjaan, pembaziran dan gaya hidup mewah keluarga Perdana Menteri?

Apakah berdiam diri dan enggan menjawab juga menyebabkan bertambahnya sokongan rakyat? Atau adakah Datuk Seri Najib ada perancangan lain, di sebalik sikap berdiam dirinya itu, yang boleh menjamin kelangsungan kuasa BN dalam pilihanraya akan datang?

Ramai pemerhati politik melihat ada dua kemungkinan yang bakal dipilih Datuk Seri Najib jika ingin menang dalam pilihanraya, tetapi dalam masa yang sama meneruskan pendirian berkeras dan berbalah dengan Tun Mahathir. Pertama, mengadakan kerjasama dengan Pas dan kedua, membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara.

UMNO dan Pas kini seperti ada persetujuan tidak rasmi dari segi memperkuatkan kedudukan Melayu dan Islam. Sokongan UMNO terhadap hudud adalah permulaan ke arah itu. UMNO secara umumnya tidak punyai banyak masalah untuk bergabung dengan Pas kerana mereka sedar sokongan daripada bukan Melayu semakin sukar untuk diharapkan, lalu mahu beralih kepada memperkuatkan segmen Melayu saja.

Hanya Pas ada sedikit masalah kerana kumpulan profesional atau Erdogan dalam parti itu rata-rata menolak kerjasama dengan UMNO. Bagaimanapun kumpulan pro ulama yang ditunjangi oleh Presiden Pas, Haji Hadi Awang jelas semakin ingin mendekatkan diri dengan UMNO dan tidak semesra dulu lagi dengan rakan-rakan dalam PR.

Masalah itu bagaimanapun mungkin berakhir selepas pemilihan Pas Jun depan di mana kumpulan pro ulama dijangka menguasai kepimpinan parti itu. Percantuman UMNO dengan Pas barangkali boleh mengukuhkan kuasa Datuk Seri Najib dengan memenangi lebih banyak kawasan Parlimen majoriti Melayu di samping mengekalkan hubungannya dengan MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain parti yang dilihat lebih rela kekal bersama BN daripada menyertai PR.

Datuk Seri Anwar ketika ini bukan lagi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang. Tempatnya di Permatang Pauh bakal diisi oleh isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Walaupun masih berpengaruh terhadap PKR, tetapi beliau bukan lagi ancaman secara langsung kepada Datuk Seri Najib setelah tidak lagi bertaraf Ahli Parlimen.

Tetapi persamaannya ialah ketika ini Tun Mahathir sudah menjadi musuh bersama bagi kedua-duanya. Datuk Seri Anwar bermusuh dengan Tun Mahathir sejak 1998 lagi manakala Datuk Seri Najib pula dianggap musuh sejak bekas Perdana Menteri mula menyerang dan mendesaknya meletakkan jawatan hampir setahun yang lalu.

Jika dibebaskan dan membuatkan Datuk Seri Anwar terhutang budi kepadanya, persefahaman untuk bersama-sama menghadapi Tun Mahathir lebih mudah dibentuk dan memberi keselesaan kepada Datuk Seri Najib kerana kedudukan bekas Timbalan Perdana Menteri itu yang bukan lagi bertaraf Ahli Parlimen membuatkannya tidak lagi rasa terancam sehingga pilihanraya 2018.

Kiranya Datuk Seri Anwar dapat dijinakkan, ia pasti disusuli dengan keputusan PKR akhirnya turut menjalinkan kerjasama atau berbaik-baik dengan UMNO dan BN. Apabila PKR sudah bekerjasama dan berbaik-baik dengan UMNO dan BN, hubungan Pas dengan DAP dalam PR akan terlerai dengan sendirinya kerana tiada lagi tokoh pendamai antara kedua-duanya.

Tiadanya lagi persefahaman di kalangan pembangkang secara automatik memberi kelebihan kepada UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya.

Yang mana satu agaknya talian hayat pilihan Datuk Seri Najib untuk menjamin kelangsungan masa depannya - bekerjama dengan Pas atau membebaskan Datuk Seri Anwar?

Jika salah satu pilihan di atas gagal dilakukan dan dalam masa yang sama terus bermusuh dengan Tun Mahathir, ia adalah "jalan mati" yang semakin nyata bagi Datuk Seri Najib.
-antdaily-

Tiada ulasan: