"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Tutup buah dada sebelum mencabar’ - AMK kecoh di Whatsapp (Gambar)

Rasa tidak puas hati di kalangan ahli Pemuda PKR (AMK) dengan ahli majlis pimpinan pusatnya, Halimah Nasoha yang digugurkan diheret kepada beberapa siri perbualan yang dianggar berbaur seksis di media sosial.

Paparan skrin WhatsApp Pemuda PKR menunjukkan Timbalan Ketua Pemuda PKR Selangor Zainol Abidin Mohamed meminta Halimah "menutup buah dadanya sebelum nak mencabar".

Zainol membuat ulasan itu sebagai respons kepada rakan-rakan Pemuda PKR yang berkongsi gambar Halimah memakai baju putih tanpa lengan bersama tiga rakannnya.

Perbualan mengenai Halimah dalam kumpulan itu bermula selepas dia menuntut lembaga disiplin parti untuk memanggil Timbalan Presiden Datuk Seri Mohd Azmin Ali dan ahli PKR yang lantang membidas parti itu sendiri, Badrul Hisham Shaharin untuk menamatkan konflik terbuka mereka.

Ketika dihubungi kemudian, Zainol mengakui dia membuat kenyataan itu dan berkata kumpulan berkenaan ‘panas’ ketika membincangkan kenyataan Halimah.

“Dalam kumpulan Whatsapp itu memang hangat perbincangan pasal isu dia (Halimah). Dalam itu kan, macam-macam ada.

“Dalam tulisan itu kita kata, suruh dia jaga aurat dulu sebelum sibuk nak tegur orang pula," katanya kepada Malaysiakini.

“Dan dalam sambungan perbualan itu pun, kita sebut bahawa menutup aurat adalah satu tuntutan syariat,” tambahnya.

Zainol bagaimanapun mengakui tidak mempunyai idea mengenai siapa yang membocorkan perbualan WhatsApp mereka.

Katanya, terdapat lebih daripada 100 ahli dalam kumpulan berkenaan.

“Tak boleh nak syak sesiapa, dalam itu (kumpulan) banyak kem.

“Penjelasan saya, saya tidak menyerang dia secara peribadi atau menggunakan kenyataan seksis tetapi lebih kepada syariat,” katanya.
Halimah kemudiannya dipetik portal Selangor Post sebagai berkata perbualan di kumpulan Whatapp itu sebagai 'menjijikkan'.

Halimah hari ini dipetik oleh akhbar Sinar Harian sebagai berkata bahawa Badrul Hisham yang juga dikenali sebagai Chegubard hendaklah mengemukakan bukti dakwaannya terhadap Azmin yang didakwa meluluskan konsesi pembalakan kepada sebuah syarikat tanpa tender terbuka.

Katanya, Azmin boleh mengheret Chegubard ke mahkamah kerana memfitnahnya dan melihat jika sama ada dia mempunyai bukti untuk menyokong dakwaan itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Timbalan Ketua Pemuda PKR Dr Afif Bahardin mengesahkan bahawa Halimah telah digugurkan daripada majlis pimpinan pusat dan kenyataannya tidak mewakili sayap parti.

Afif berkata Halimah secara automatik digugurkan daripada jawatankuasa itu mengikut Perkara 7.14 peraturan tetap AMK.

Peraturan itu menyebut ahli majlis pimpinan pusat AMK yang gagal menghadiri mesyuarat sebanyak enam kali tanpa sebab munasabah dianggap telah meletakkan jawatan.

Sambil mengakui bahawa dia digugurkan kerana tidak aktif, Halimah, bagaimanapun, mempersoalkan masa tindakan itu kerana dia dipecat 24 jam selepas membuat kenyataan berkenaan.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: