"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tahan pemandu Myvi lakukan ugutan jenayah

BERNAMA

Georgetown: Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian ugutan jenayah dan menunjukkan isyarat lucah dalam insiden di Jalan Tun Dr Awang, di sini yang videonya tular di media sosial semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, lelaki berusia 37 tahun itu ditahan semalam hasil maklumat dan risikan selepas rakaman kamera papan pemuka (dashcam) milik mangsa dimuat naik serta tular di laman media sosial terutama Facebook.

"Siasatan mendapati kejadian itu berlaku 11.27 pagi Khamis di Jalan Tun Dr Awang menghala ke Relau, apabila lelaki itu yang memandu Perodua Myvi bertindak memotong kenderaan mangsa secara mengejut.

​"Lelaki itu dipercayai menunjukkan isyarat lucah sebelum memberhentikan keretanya di hadapan (kereta) mangsa lalu turun dari kenderaannya dengan membawa sebatang objek dipercayai besi dan menghayunkan ke arah kereta mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ekoran penahanan lelaki itu, polis merampas sebuah kereta Perodua Myvi, sebatang paip PVC, kunci kereta dan pakaian yang dipercayai digunakan suspek semasa kejadian bagi membantu siasatan.

Anuwal berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan suspek juga mempunyai rekod lampau berkaitan dadah serta jenayah.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau dan pihak polis mendapat perintah reman tiga hari hingga 31 Mei ini ke atas lelaki itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya.

Beliau berkata, polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa mengawal emosi ketika berada di jalan raya dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman pengguna lain.

Tiada ulasan: