Saya membaca beberapa kali laporan mengenai taklimat 1MDB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Arul Kanda Kandasamy kepada pimpinan tertinggi PAS.
Saya juga menonton rakaman sidang media oleh Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, untuk memastikan saya tidak tersalah dengar.
Kesimpulan yang dibuat oleh kepimpinan PAS selepas taklimat itu dilaporkan seperti berikut:
- Bahawa PAS berpuas hati dengan proses rasionalisasi 1MDB;
- Bahawa PAS berasakan perlu ada pemantauan ke atas syarikat-syarikat milik Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) yang mengambil alih aset dan hutang 1MDB itu
Saya tidak pasti sama ada pimpinan PAS yang hadir dalam taklimat itu faham apa makna proses rasionalisasi 1MDB yang dihukumkan sebagai “memuaskan” itu.
Proses rasionalisasi 1MDB seperti yang dijaja oleh Arul Kanda dan pimpinan Umno/BN ialah proses memindahkan hutang-hutang 1MDB kepada syarikat-syarikat milik penuh kerajaan melalui MOF Inc.
Segala yang diterangkan oleh Arul Kanda itu sudah pun diketahui umum dan melibatkan perkara-perkara berikut:
- Menjual aset-aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan dana yang dibayar itu akan dapat mengurangkan hutang 1MDB disamping memindahkan hutang-hutang lain yang diwarisi semasa 1MDB membeli asetnya kepada pembeli baru itu. Contohnya, penjualan Edra kepada syarikat milik kerajaan China;
- Menjual aset negara kepada syarikat swasta dan asing, dengan harapan pembangunan di tanah-tanah itu akhirnya akan membawa keuntungan yang sebahagiannya akan dikongsi oleh kerajaan Malaysia suatu ketika nanti. Penjualan itu juga diharap akan dapat membawa dana untuk membantu 1MDB mengurangkan hutangnya. Contohnya, penjualan tanah di Pangkalan Udara Sungai Besi kepada syarikat swasta dan syarikat milik Kerajaan China untuk dibangunkan menjadi Bandar Malaysia.
- Menjual aset-aset negara kepada tabung-tabung dana rakyat pada harga yang berkali ganda mahalnya atau memindahkan operasi tabung-tabung dana rakyat ke pembangunan baru yang diusahakan 1MDB walaupun tidak ada keperluan tabung-tabung tersebut membelanjakan wang untuk ibu pejabat yang baru. Contohnya, penjualan tanah kepada Tabung Haji dan keputusan Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) untuk membina ibu pejabat baru di Tun Razak Exchange;
- Memindahkan anak-anak syarikat 1MDB yang dibebani hutang kepada kerajaan sepenuhnya dan mewarisi hutang-hutang tersebut. Contohnya, SRC International Sdn Bhd dipindahkan kepada MOF Inc dan mewarisi hutang RM4 bilion yang kini ditanggung rakyat.
Sebab itu saya ingin bertanya kembali kepada kepimpinan PAS: apabila mereka berpuas hati dengan kemajuan proses rasionalisasi itu, adakah mereka bersetuju dengan kaedah memindahkan hutang 1MDB kepada rakyat, sedangkan wang yang dipinjam oleh 1MDB itu telah jelas lesap dan diselewengkan untuk membeli harta-harta mewah?
Di mana baiknya tindakan-tindakan merompak wang rakyat, kemudian menjual harta-harta rakyat untuk menutup lubang hutang setelah hutang-hutang itu dipindah milik kepada kerajaan?
Pada masa sama, kerajaan terpaksa mengutip cukai yang baru (GST), meningkatkan kutipan cukai sedia ada sehingga orang yang mati pun masih perlu membayar cukai dan memotong perbelanjaan-perbelanjaan penting seperti pendidikan dan kesihatan?
Saya kecewa dengan kenyataan Tuan Ibrahim dan pendirian pimpinan PAS itu kerana akan dijadikan modal oleh Umno/BN untuk menghalalkan tindakan memindahkan hutang kepada rakyat.
Sewajarnya, apabila pengurusan 1MDB menawarkan untuk memberi taklimat, Tuan Ibrahim mengambil peluang itu untuk membawa Arul Kanda berhadapan dengan parlimen kerana selama ini beliau mengelak daripada hadir menjawab soalan-soalan anggota parlimen, terutamanya daripada pembangkang.
Saya menasihatkan pimpinan PAS supaya lebih berhati-hati dan tidak terperangkap dengan permainan propaganda Umno/BN yang hanya mahu menggunakan PAS untuk mengurangkan kritikan rakyat terhadap penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.
RAFIZI RAMLI ialah anggota parlimen Pandan merangkap naib presiden PKR.
-malaysiakini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan