Melati A. Jalil
Pemberian kontrak itu jelas kes percanggahan kepentingan dan penyalahgunaan kuasa oleh Zahid, kata Ahli Parlimen Klang Charle Santiago. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2017.
TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini diminta menjelaskan tentang pemberian satu kontrak menguntungkan kepada Bukti Megah Sdn. Bhd, salah satu syarikat yang diberi tanggungjawab untuk menguruskan program pengambilan pekerja tanpa dokumen.
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, ketika kontrak itu diberi, pengarah bagi firma itu merupakan Abdul Halim Suleiman yang merupakan pegawai khas Zahid.
Katanya, Halim memiliki 70% saham syarikat itu, dengan bakinya dimiliki anaknya, Mohamad Redzuan Halim.
"Mengikut rekod SSM, Halim dilantik pada 27 Mac, 2014 dan firmanya boleh mengambil pekerja dari 15 buah negara.
"Ini sangat jelas kes percanggahan kepentingan dan penyalahgunaan kuasa oleh Zahid.
"Ia menimbulkan persoalan sama ada menteri dalam negeri yang mempunyai kuasa penuh ke atas Jabatan Imigresen, menggunakan pengaruhnya untuk memberi projek tersebut kepada pembantunya.
"jawatannya sebagai timbalan perdana menteri juga memberi kelebihan kepada Zahid dalam pemberian kontrak terbabit.
"Zahid perlu menjelaskan jika kontrak yang diberi kepada Bukti Megah adalah berdasarkan terder terbuka," kata Charles pada sidang akhbar di bilik media di Parlimen hari ini.
Charles juga mempersoalkan mengapa Halim dan anak lelakinya tidak lagi disenaraikan sebagai pengarah atau pemilik selepas pengemaskinian pendaftaran rekod pendaftaran syarikat pada 10 Julai.
"Ini bukan saja pelik malah Zahid dan Halim seperti menyembunyikan sesuatu, kerana rekod awal menunjukkan kontrak itu diberi ketika Halim adalah pemilik/pengarah Bukti Megah."
Beliau menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat hal ini, memandangkan terdapat cukup percanggahan untuk mengadakan siasatan ke atas Zahid dan Halim.
Halim yang merupakan ahli Umno, adalah ahli dewan undangan negeri Puteri Wangsa, Johor dari 2004 hingga 2013. – 8 Ogos, 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan