"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru wanita ini kerana larikan gelang emas (video)


Kuala Lumpur – Polis memburu seorang wanita selepas dia melarikan seutas gelang tangan emas dianggarkan bernilai RM10,000 dari sebuah kedai emas di Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, suspek itu yang dianggarkan berusia lingkungan 20-an pada mulanya berpura-pura bertanyakan harga seutas rantai tangan dengan seorang jurujual wanita dan meminta untuk mencubanya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata selepas memakai rantai tangan itu, suspek meminta jurujual terbabit mengeluarkan seutas lagi rantai tangan yang lain dan sekali lagi dia mahu mencuba memakainya.

“Jurujual terbabit mengambil semula rantai tangan pertama dan menyerahkan rantai tangan kedua kepada suspek untuk dicuba.

“Selepas jurujual menyimpan semula rantai pertama ke dalam ruang pameran dan sedang mengira harga rantai tangan kedua, suspek terus bergegas keluar dari kedai dan melarikan diri bersama barang kemas itu.

“Jurujual terbabit cuba mengejar wanita itu namun gagal. Kerugian dianggarkan bernilai RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Menurut beliau, pihaknya kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, satu video daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian itu mula tersebar di laman media sosial, malam tadi.

Video berdurasi 1 minit 18 saat itu menunjukkan suspek berpura-pura melihat barang kemas di ruang pameran kedai emas terbabit sehinggalah dia melarikan gelang emas berkenaan.

Ketika kejadian, suspek dilihat berseluar denim dan memakai baju serta tudung berwarna hitam.

Ahmad Dzaffir meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil di mana-mana balai berhampiran.
-bhonline

Tiada ulasan: