FMT Reporters
GEORGE TOWN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyuarakan keraguannya berhubung keputusan kerajaan memilih bekas pegawai tertinggi polis yang memukul suaminya pada 1998 sebagai fasilitator baru rundingan damai di selatan Thailand.
Tan Sri Abdul Rahim Noor, yang memegang jawatan sebagai ketua polis negara dari 1994 hingga 1999, menumbuk mata Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga lebam pada 20 September 1998.
Wan Azizah berkata beliau “sangat tidak selesa” dengan pelantikan Rahim yang memainkan peranan dalam usaha rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai, iaitu keputusan prerogatif Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dalam temu bual dengan stesen radio BFM, katanya, beliau bertemu dengan Dr Mahathir baru-baru ini untuk menyuarakan pendapatnya.
“Dr Mahathir beritahu saya Rahim mempunyai pengalaman semasa pemberontakan dan aktiviti pengganas.
“Tetapi saya menjelaskan kepadanya kenapa anak perempuan saya ragu-ragu dengan keputusan itu akibat peristiwa lalu. Ia tidak mudah untuk kami menerimanya,” katanya.
“Dia (Dr Mahathir) berkata Rahim mempunyai pengalaman. Saya kata baiklah, dia ada sedikit panas baran.”
Beliau berkata adalah penting bagi Malaysia memberi tumpuan kepada perkara yang dihadapi supaya masalah itu dapat diselesaikan dan calon yang dipilih dapat menyampaikannya.
Apabila ditanya sama ada beliau sukar memaafkan Rahim berbanding Dr Mahathir, Wan Azizah berkata beliau akan “memaafkan semua”.
“Jika ada rasa dendam di hati saya, ia akan berbeza. Saya benar-benar berfikir, semoga saya berhati mulia, kami melakukannya dengan baik, banyak perkara yang kami bersyukur dan saya bertuah kerana mendapat rahmat dari Allah.
“Saya rasa saya boleh laluinya, tetapi kita adalah manusia dan kadang-kadang mengalami perasaan turun naik,” katanya.
Rahim, yang meletak jawatan pada 1999 kerana menyerang Anwar, dipenjarakan selama 2 bulan pada tahun berikutnya.
Beliau menggantikan Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini sebagai fasilitator rundingan damai antara Bangkok dengan pejuang Islam di selatan Thai.
Pelantikannya menerima kecaman daripada beberapa pihak, termasuk anak perempuan Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar, bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan veteran DAP Dr Boo Cheng Hau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan