"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas perisik mungkin dapat dana AS$12j melalui Timur Tengah

Bekas pegawai-pegawai kanan perisikan yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai menerima dana sebanyak AS$12 juta daripada sumber asing namun disalurkan melalui Timur Tengah.

Seorang penyiasat kanan yang enggan namanya didedahkan berkata, wang itu dibawa ke Malaysia menjelang pilihan raya umum yang dilangsungkan pada 9 Mei lalu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan maklumat lanjut berkaitan sumber dana-dana itu.

“Apa yang kami ketahui setakat ini, suspek-suspek terbabit menggunakan kuasa mereka untuk mendapatkan akses khas di lapangan terbang (Malaysia),” katanya.

Beliau berkata SPRM sedang menyiasat sama ada wang tunai itu digunakan untuk tujuan pilihan raya.

“Persoalannya sekarang berkaitan pelanggaran keselamatan negara.

“Pertama, terdapat isu bagaimana wang itu dibawa masuk ke negara kita tanpa dikesan.

"Kami percaya mereka mengisytihar wang tunai itu sebagai benda lain untuk melepasi sistem keselamatan lapangan terbang.

“Ini melanggar prosedur keselamatan di pintu masuk negara kita.

“Kedua, apa urusan jabatan kerajaan untuk menerima dana daripada sumber asing, dan untuk tujuan apa? Jadi ada kebimbangan terhadap kemungkinan aspek keselamatan negara diceroboh,” katanya.

Pegawai itu bagaimanapun enggan menamakan lapangan terbang terbabit.
Undang-undang negara mensyaratkan wang bersamaan atau melebihi AS$10,000 yang dibawa masuk ke negara ini diisytiharkan.

Terdahulu, dalam sidang media khas SPRM hari ini, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata keseluruhan AS$6.3 juta telah dirampas dan AS$5 juta lagi masih dicari.

SPRM telah menangkap tujuh bekas pegawai risikan kerajaan dan mantan ketua mereka Datuk Hasanah Abdul Hamid.
-malaysiakini

Tiada ulasan: