"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perincian 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram Azeez

KINIGUIDE | Hari ini Anggota Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim dihadapkan dengan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram, dengan jumlah keseluruhan RM144.6 juta.

Sembilan daripada pertuduhan adalah berkenaan menerima RM139.4 juta wang haram daripada beberapa syarikat.

Tiga lagi adalah berkenaan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta untuk membantu sebuah syarikat mendapat projek kerajaan.

Syarikat yang terlibat

Azeez didakwa menerima dana haram daripada empat syarikat antara 8 Mac 2010 dan 30 Ogos 2018.

Syarikat utama yang terlibat adalah Menuju Asas Sdn Bhd, yang memberi sejumlah RM42.5 juta. Laporan media menyatakan Menuju Asas terlibat dalam beberapa projek lebuh raya dan jalan raya di Malaysia.

Azeez juga didakwa menerima RM70.8 juta daripada Mangkubumi Sdn Bhd. Profil syarikat itu menyatakan ia terlibat dalam pembinaan jalan dan jambatan, serta projek saliran.

Pintas Utama Sdn Bhd didakwa memberikan RM22.4 juta kepada anggota Majlis Tertinggi Umno itu. Profil syarikat itu menyatakan ia terlibat dalam pembinaan dan kerja raya.

Syarikat terakhir yang dinamakan dalam pendakwaan terhadap Azeez adalah AVP Engineering Sdn Bhd, yang didakwa memberikan RM8.9 juta kepada Azeez. AVP terlibat dalam kerja penyelenggaraan dan pasang siap kepada kenderaan khas, misalnya trak bomba.

Tujuan pembayaran

Tuduhan pengubahan wang haram - yang mana menamakan empat syarikat itu - tidak menjelaskan tujuan pembayaran kepada Azeez.

Bagaimanapun tiga tuduhan rasuah menyatakan Pengarah Menuju Asas Mohammad Redzuan Mohanan Abdullah memberikan Rm5.2 juta kepada Azeez untuk mendapatkan pelbagai projek.

Bayaran pertama pada 8 Disember 2010 melibatkan RM1.2 juta, untuk mendapatkan bantuan Azeez bagi memperoleh tender kerajaan bernilai RM197.8 juta.

Ia untuk tiga projek jalan di Kampung Gajah, Perak, dan satu projek di Kampung Merbau Kudung, Kedah.

Bayaran kedua dan ketiga pula masing-masing sebanyak RM2 juta, pada Jun 2017 dan April 2018. Ia untuk mendapatkan bantuan Azeez bagi memperoleh tender kerajaan untuk kerja penambahbaikan jalan di Teluk Intan, Perak.

Projek itu bernilai RM644.5 juta.

Pertuduhan dihadapi Azeez

Bagi kesalahan pengubahan wang haram, Azeez didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).

Jika disabit bersalah, beliau boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan didenda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan.

Bagi kesalahan rasuah, Azeez didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika disabit bersalah, ia membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Sementara itu abang Azeez, Abdul Latif berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM kerana bersubahat dengan Azeez dalam menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan.

Jika disabit bersalah, beliau boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta SPRM.

KINIGUIDE ini disediakan oleh Zikri Kamarulzaman.

Tiada ulasan: