"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PRK Dun Semenyih: PH hanya menang tiga PDM

ARIF ATAN
Analisis PRK Dun Semenyih

Pakatan Harapan (PH) hanya mencatatkan kemenangan di tiga daripada 23 pusat daerah mengundi (PDM) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Semenyih semalam.

PDM terbabit ialah Tarun, Semenyih Indah dan Bandar Rinching 1-4 dengan komposisi ramai pengundi bukan Melayu.

Berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), PH yang merampas kerusi tradisi BN itu dengan majoriti 8,964 undi menang 13 PDM.

PDM Tarun yang terletak di bahagian utara Semenyih jauh lebih besar daripada PDM lain tetapi mempunyai jumlah pengundi yang secara relatifnya rendah.

Semenyih Indah pula merupakan PDM kawasan pengundi Cina di Pekan Semenyih. Namun, keputusan PRK N.24 menyaksikan sebahagian kaum itu juga tidak lagi mengundi PH.

Sementara itu, sokongan pengundi India di Bandar Rinching 1-4 masih baik tetapi sokongan Melayu di PDM tersebut sangat merosot.

Bandar Rinching 1-4 merupakan PDM paling ramai kaum India yang membentuk komposisi 13.3 peratus daripada 54,503 keseluruhan pengundi di Dun Semenyih.

Kemenangan PH di PDM tersebut sekali gus menepati jangkaan Ketua Komuniti Kaum India Semenyih, Puvanendran Munusamy ketika ditemui Malaysia Dateline pada 23 Februari lalu.

Ketua PKR Cabang Hulu Langat ketika itu memberi jaminan sokongan majoriti pengundi India di N.24 Semenyih kepada PH tidak berubah dengan apa yang dicapai pada PRU-14, Mei tahun lepas.

PH kalah teruk di PDM kawasan pengundi Melayu walaupun menteri turun berkempen.

Bagaimanapun, PH kalah teruk di kawasan calon, Muhammad Aiman Zainali dan bekas Adun di Hulu Semenyih di bahagian utara N.24 itu.

Sumber memberitahu, akar umbi Bersatu sendiri menolak pencalonan Muhammad Aiman sekali gus menjejaskan gerak kerja jentera pilihan raya.

Di PDM kawasan kampung seperti Kuala Pajam yang dikuasai BN pada PRU-14 contohnya, sumber dari Bersatu mendakwa kepimpinan tempatan tidak menerima Aiman sebagai calon kerana dianggap “sangat tidak sesuai”.

Dikatakan juga beberapa PDM di kawasan kampung pada peringkat awal kempen ditinggalkan ekoran protes akar umbi terhadap pencalonan menantu kepada bekas Adun Semenyih, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor itu.

Trend pengundian PDM kawasan luar bandar Melayu kepada BN juga dilihat ‘berjangkit’ di kawasan majoriti pengundi Melayu kelas menengah.

PDM seperti di Kantan Permai dan Bukit Mahkota contohnya menyaksikan peralihan kira-kira lapan peratus kepada BN berbanding lebih separuh undi dimenangi PH pada PRU-14 lalu.

Tiada ulasan: