"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Saya, PAS tak bayar Clare, kita akan adu pada Allah’

Presiden PAS, Hadi Awang hari ini menegaskan bahawa tiada sebarang bayaran dibuat kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah.

Hadi berkata, PAS atau beliau sendiri secara individu tidak pernah membuat bayaran RM1.4 juta itu seperti didedahkan peguam Rewcastle-Brown, Americk Singh Sidhu dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

"Saya tak bayar, PAS tak bayar. Dakwaan itu tak betul," katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Hadi turut mengulangi penafian parti itu sebelum ini berhubung dakwaan PAS membayar RM1.4 juta kepada Clare, menerusi pihak ketiga, untuk penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah yang difailkannya di London.

Hadi berkata, 'pertuduhan' terbaru ke atas PAS berhubung pembayaran RM1.4 juta kepada Clare hanyalah satu agenda pihak tertentu untuk menjatuhkan parti berkenaan.

Katanya, PAS hanyalah sebuah parti miskin yang menerima sumbangan daripada orang ramai dan tidak mempunyai dana untuk membayar Clare seperti didakwa.

Editor Sarawak Report itu pada 1 Mac lalu mengesahkan dia menerima bayaran RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah pada bulan lalu.

Bagaimanapun Clare menjelaskan ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden PAS itu membayar kos kerana ia sudah dibuat kepada pihak ketiga yang mewakili portal tersebut, iaitu peguam, Americk Sidhu.

Beliau juga mengesahkan cek RM1.4 juta itu sudah dijelaskan dan wang berkenaan telah diterima anak guamnya.

Americk Sidhu juga mendakwa Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Rameli Musa bertindak sebagai pengantara dan menawarkan diri untuk membayar secara tunai, tetapi menulis cek apabila diberitahu tidak boleh berbuat demikian.

Pada sidang akhbarnya itu, Hadi juga ditanya mengenai gambar pertemuan beliau bersama Rameli.

Berita Harian turut melaporkan Hadi sebagai mengesahkan dirinya di dalam gambar itu, namun menafikan ia berkait dakwaan pembayaran itu.

"Saya rasa gambar itu masa pergi Thailand tak silap saya. Ketika saya berjumpa (bekas menteri luar Thailand) Surin (Abdul Halim Ismail Pitsuwan) untuk membincangkan masalah penindasan terhadap umat Islam di Myanmar. Beliau (Surin) dah meninggal pun dua tahun lalu.

"Tak timbul pun (pertemuan itu) nak tandatangan cek atau apa ketika itu," katanya.

Gambar Hadi bersama Rameli dimuatnaik Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bersama catatan panjang di Facebook miliknya Sabtu lalu, menggambarkan hubungan akrab Ahli Parlimen Marang itu dengan ahli perniagaan berkenaan.

Hadi juga berkata, PAS tidak berhasrat untuk membawa kes serangan terbaru ke atas parti itu ke mahkamah bagi membersihkan nama kerana tidak mahu membuang masa dan wang.

"Kita tak mahu habiskan masa yang banyak untuk saman, habis duit banyak. Cuma kita mengadu pada Allah.

"Malam ini kita buat solat hajat di seluruh negara. Mereka yang percaya kita tak buat benda yang difitnahkan ini, kita serahkan kepada Allah. Tindakan kita ialah jelaskan pada masyarakat apa yang sebenar," katanya.

Beliau berkata, PAS menarik semula saman difailkan terhadap Clare kerana ia adalah agenda politik dan bukan agenda perniagaan.

"Kita dah didatangi pihak tertentu untuk tarik balik kes ini sebelum pilihan raya lagi, tetapi kita tak mahulah kerana kes ini berlaku masa pilihan raya, kes ini pun kes politik.

"Dan apabila kita menang di Terengganu dan pertahan Kelantan, kita dapat perintah negeri ini dan kita juga jadi parti yang terbesar di Kedah dan Pahang.

"Jadi kita sudah berjaya daripada segi politik. Oleh sebab itu kita dah berjaya (agenda politik) dan kita tarik kes ini (saman Rewcastle-Brown)," katanya.
-malaysiakini

Tiada ulasan: