"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

IKLAN Hubungi: gigitankerengga@gmail.com


Politik barbarisme pembangkang

ARIF JUHANI ABD RAHMAN
Tiga kali Pakatan Harapan (PH) gagal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK). Dua kali PRK iaitu di Cameron Highlands dan Rantau, PH gagal merampas penguasaan pembangkang di kerusi tersebut manakala PRK Semenyih pula, PH melalui calon Bersatu terlepas kerusi itu.

Jika ditanya apakah punca kekalahan tersebut, banyak jawapan boleh disenaraikan. Sudah pasti yang paling kuat mempengaruhi persepsi rakyat Malaysia umumnya adalah kegagalan PH meyakinkan golongan Melayu dan Islam bahawa masa depan agama, bangsa dan kedudukan raja-raja Melayu terjamin di bawah pentadbirannya.

Selepas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, pembangkang memang cuba membangkitkan sentimen tersebut apatah lagi selepas jawatan kanan seperti Menteri Kewangan diamanahkan kepada Lim Guan Eng.
Begitu pantas pembangkang dan tentera sibernya memainkan peranan.

Akhirnya apabila rusuhan Kuil Seafield di Selangor berlaku sehingga menyebabkan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kasssim, situasi sukar dikekang lagi.

Persepsi negatif terhadap pentadbiran kerajaan PH sudah sukar dikawal lagi.

Tidak dinafikan kenyataan beberapa pemimpin PH turut memburukkan keadaan.

Situasi yang kompleks ini adalah ujian terbesar yang perlu ditanggung oleh seluruh kepimpinan kerajaan.

Kecanggungan berdepan dengan kumpulan media sehingga tersilap memberikan kenyataan telah memberi peluang kepada pembangkang menunggang isu ini demi kepentingan politik sempit mereka.

Daripada kesilapan tersebut, pembangkang cuba mencipta persepsi lanjutan bahawa kedudukan Melayu dan Islam hari ini sudah terancam sepenuhnya.

Kemampuan pembangkang mengolah kelemahan awal kerajaan pada masa ini kerana kumpulan sasaran utama mereka iaitu orang Melayu dan Islam boleh dikatakan agak mudah menerima apa sahaja fitnah dan persepsi yang dilemparkan.

Bukan terlalu sukar untuk meneliti pembohongan demi pembohongan pembangkang ini. Media sosial telah mendedahkan bagaimana golongan agama turut menjadi ejen fitnah ini. Mereka dilihat begitu aktif memanipulasi kelebihan yang diperoleh seperti masjid-masjid dan surau-surau untuk menyebarkan dakyah sempit tersebut.

Ditambah pula kebanyakan golongan Melayu dan Islam mempunyai daya penilaian yang rendah dan lemah untuk memastikan apa sahaja yang disampaikan oleh para pengkuliah itu benar atau palsu, maka inilah yang disaksikan hari ini.

Apabila kerajaan Pakatan Harapan berusaha memulihkan Tabung Haji, pembangkang termasuklah Pas yang rata-ratanya berlatar belakang agama turut ‘spin’ usaha tersebut sebagai menjatuhkan kredibiliti dan maruah agama Islam.

Konsep ‘tabayyun’ yang kerap ditekankan dalam membuat penilaian dan keputusan juga sudah tidak dipedulikan lagi.

Sebaliknya pemikiran politik agama yang dibawa oleh pembangkang pula mencerminkan agenda barbarisme yang mana cukup biadab dalam menyatakan pandangan dan sanggahan.
Pas yang dahulu kononnya mengamalkan pendekatan matang dan sejahtera sudah semakin terhakis.

Gelagat Umno yang cukup handal menunggang emosi dan sentimen Melayu dan Islam sejak sekian lama tidak perlu lagi dipertikaikan malah itulah juga kritikan Pas terhadap sekutu baharunya itu.

Apa yang aneh apabila Pas pula tanpa segan silu mempertahankan Umno yang sekian lama dianggap musuh yang penuh dengan kebusukan rasuah, penyelewengan kuasa dan pelbagai lagi skandal lain.
Persoalannya, di manakah daya juang dan pemikiran agama yang dibawa oleh Pas selama ini?

Tiada ulasan: