"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Durian belanda merawat kanser, mitos atau fakta?

FMT Reporters
Jika tiba musim durian, pasti terdapat pelbagai jenis durian yang boleh anda dapatkan dari pasaran.
Antara jenis durian yang mendapat permintaan tinggi adalah seperti durian D24, Musang King dan Udang Merah.

Namun, bagaimana pula dengan durian belanda? Adakah ia sama seperti durian lain? Apakah kebaikan dari buah ini? Adakah benar ia boleh membantu mencegah kanser?

Apa itu Durian Belanda?

Pokok durian belanda merupakan tumbuhan yang berasal dari benua Amerika, Caribbean dan Afrika.

Ia dipercayai dibawa masuk ke Tanah Melayu ketika era penjajahan Barat.

Buah yang berduri ini mempunyai isi putih dan biji coklat bersaiz sederhana besar dengan keunikan rasa yang tersendiri.

Ia telah ditanam secara komersial dan meluas di Asia untuk dijadikan pelbagai produk makanan dan minuman.

Di Indonesia, buah ini dikenali sebagai Sirsak.

Durian belanda yang berbentuk seakan seperti mangga dengan duri bersama kulit berwarna hijau adalah tumbuhan yang tumbuh di kawasan tropika, yang turut dikenali sebagai graviola di Amerika Latin dan custard apple.

Buah ini boleh membesar sehingga saiz 12 inci panjang dan 6 inci lebar dengan berat beberapa kilogram.

Antara kelebihan yang dimiliki oleh buah durian belanda ini termasuk mengandungi karbohidrat, fruktosa, amyloid, asid sitrik, manganese, sukrosa, reticuline, vitamin C, vitamin B1 dan vitamin B2.

Buah yang turut dikenali sebagai guanabana dan Brazilian paw paw ini turut digunakan oleh pengamal ubatan herba untuk merawat sakit perut, demam, jangkitan parasit, dan hipertensi.

Walaupun kebanyakan kajian yang dilakukan adalah terhad kepada kajian dalam tabung uji, beberapa kajian yang dilakukan mendapati bahawa buah durian berpotensi membantu menghilangkan sel-sel kanser.

Satu kajian tiub ujian merawat sel-sel kanser payudara dilakukan dengan ekstrak buah ini.

Menariknya ia dapat mengurangkan saiz tumor, membunuh sel-sel kanser dan meningkatkan aktiviti sistem imun badan.

Satu lagi kajian tabung uji melihat kesan ekstrak durian belanda pada sel leukemia, dikatakan dapat menghentikan pertumbuhan dan pembentukan sel-sel kanser.

Tetapi benarkah ia boleh merawat kanser?

Walaupun terdapat kajian yang mencadangkan penggunaan buah ini untuk merawat kanser.

Hakikatnya kajian tersebut tidak dijalankan atau diuji ke atas manusia, maka hasil keputusan kajian tidak dapat dibuktikan keselamatan atau keberkesanannya.

Disebabkan itu, pakar perubatan melarang dan memberi amaran untuk menggunakan buah ini sebagai alternatif merawat kanser.

Menurut Pengarah Klinikal Perubatan Naturopathic di sebuah hospital yang terletak di Atlanta, Dr Daniel Kellman, durian belanda telah dikaitkan dengan banyak tuntutan yang tidak berasas.

Satu kajian yang diterbitkan dalam Journal of Medicinal Chemistry pada tahun 1997, mencadangkan sebatian durian belanda yang diuji pada sel-sel kanser payudara adalah lebih efektif daripada rawatan kemoterapi dalam memusnahkan sel-sel kanser.

Namun tanpa ujian klinikal, tiada data yang boleh menyokong cadangan tersebut.

Menghubungkan dengan gangguan kesihatan lain

Kebanyakan kajian mengkaji derivatif asid lemak durian belanda yang dipanggil annonaceous aceteogenin.

Acetogenin yang utama adalah annonacin, yang mempunyai racun dan kebiasaannya tidak akan dikaji dalam ujian klinikal.

Memetik kajian daripada 2 penyelidikan, Dr Kellman mengatakan penggunaan buah ini secara lisan adalah diklasifikasikan sebagai berkemungkinan tidak selamat.

Berdasarkan kajian kawalan kes di French West Indies, memakan buah ini boleh membawa kepada gangguan pergerakan seperti penyakit Parkinson.

Selain itu, kajian turut menunjukkan teh yang diperbuat daripada daun dan batang pokok ini dikaitkan dengan neurotoxicity.

Secara umumnya, buah ini yang dihasilkan dalam bentuk suplemen herba mungkin boleh digunakan oleh pesakit kanser untuk mengurangkan dan melegakan simptom kanser yang dihadapi.

Tetapi ia bukanlah pengganti untuk rawatan kanser arus perdana.

Malah, pengambilan suplemen ini semasa menjalani kemoterapi, berkemungkinan akan mengurangkan keberkesanan agen kemoterapi berikutan interaksi antara ubat dan herba.

Malah menurut Dr Amalina Bakri, Pakar Pelatih Bedah di bahagian surgikal dan trauma di Imperial College Healthcare NHS Trust di bawah seliaan The Royal College of Surgeons of England, menerusi kenyataan yang dibuat di akaun Twitter miliknya pada Ogos 2018, menafikan dakwaan kebanyakan rakyat Malaysia yang mengatakan jus durian belanda mampu merawat kanser.

Menurut beliau, jika buah tersebut dapat merawat kanser, maka dia tidak perlu bersusah payah untuk melakukan penyelidikan dan kajian bersama rakan-rakannya untuk mencari penawar bagi merawat kanser.

Kesan Sampingan Durian Belanda

1. Keradangan mata

Biji dan kulit pokok buah durian belanda ini dianggap toksik. Ia mengandungi sebatian yang berpotensi beracun seperti anonaine, asid hydrocyanic, dan muricine. Ia boleh mengakibatkan keradangan mata.

2. Wanita hamil dan menyusukan bayi

Wanita yang sedang hamil adalah tidak digalakkan untuk memakan buah ini.

Ini kerana kandungan tenaga yang tinggi dalam sel-sel janin yang sedang berkembang akan mencetuskan aktiviti beracun buah ini yang berpotensi untuk tahap kesihatan ibu dan bayi, di mana risiko pada bayi adalah lebih tinggi.

Pengambilan buah ini ketika mengandung dan menyusukan bayi adalah tidak selamat, maka hindari daripada memakannya.

3. Penurunan berat badan drastik

Dalam kajian, pengambilan buah ini menunjukkan kemerosotan berat badan yang drastik pada tikus yang terlibat dalam eksperimen.

Kesan ini juga boleh berlaku kepada manusia. Oleh itu, dapatkan pandangan dan nasihat daripada doktor jika anda merancang untuk mengambil buah ini untuk sebarang masalah berkaitan dengan berat badan anda.

Artikel ini diterbitkan di hellodoktor.com dan disemak Dr Duyen Le. Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tiada ulasan: