"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapa 6 calon bertanding di Tanjung Piai?

Malaysiakini 
Penamaan calon PRK Tanjung Piai semalam menyaksikan enam nama muncul bagi merebut kawasan parlimen yang mempunyai populasi kaum bercampur itu.
Malaysiakini menyediakan panduan tentang calon-calon yang bakal dipilih pengundi Tanjung Piai nanti.
1. Wendy Subramaniam (Gerakan)
Walaupun dianggap baru menceburkan dirinya ke dunia politik, Wendy menjadi wakil Gerakan pada PRK pertama yang ditandingi parti itu selepas PRU14 lalu dan selepas parti itu keluar dari BN.
Beiau ialah timbalan setiausaha agung Gerakan, namun sepanjang 12 tahun keanggotaannya, kebanyakan masa beliau tidak aktif sehinggalah dua tahun lalu.



Gerakan mahu Wendy menjadi kuasa ketiga dalam persaingan antara PH dan BN-PAS.
Jika menang, wanita berusia 38 tahun itu akan menjadi satu-satunya wakil Gerakan di Dewan Rakyat selepas kekalahan teruk parti itu pilihan raya umum lalu.
2. Wee Jeck Seng (BN)
Wee pernah berkhidmat sebagai anggota parlimen (MP) Tanjung Piai selama dua penggal, sebelum tewas tipis dengan 524 undi pada PRU14.

BN lewat mengumumkan pencalonan beliau, memandangkan wujud gesaan agar kerusi kawasan yang mempunyai 58 peratus pengundi Melayu itu ditandingi calon Umno.
Wee disenangi masyarakat setempat, walaupun di kalangan komuniti Melayu memandangkan kefasihannya bertutur dalam bahasa Melayu.



Di samping itu, beliau turut menjaga kebajikan penganut Islam, seperti pernah menggunakan peruntukan parlimennya untuk menghantar penduduk menunaikan haji di Mekah.
Calon 55 tahun itu juga menggunakan istilah-istilah seperti InsyaAllah dan Alhamdulillah dalam ceramah, dan sering mengimbau pengalamannya membesar di kampung Melayu.
Meskipun PH menikmati ombak sokongan bukan Melayu pada PRU14, Wee dianggar berjaya memperoleh 30 peratus undi orang Cina, yang merupakan 41 peratus pengundi di Tanjung Piai.
3. Ang Chuan Lock (Bebas)
Kemunculan Ang di penamaan calon adalah sesuatu yang tidak dijangkakan.
Pengendali pusat tuisyen berusia 49 tahun itu juga mahu menjadi kuasa ketiga yang berjuang untuk rakyat.



Penduduk asal Tanjung Piai itu menganggap dirinya sebagai "tidak berpihak" dan sanggup bekerja dengan mana-mana pihak dalam politik.
Dia menggunakan logo kunci untuk PRK ini, yang katanya, kena dengan namanya Lock.
4. Karmaine Sardini (Pakatan Harapan)
Karmaine, 66 tahun merupakan tokoh agama yang dikenali dan pernah berkhidmat sebagai imam di Masjid Al-Muttaqin Johor Bahru selain menjadi pengerusi Biro Agama Bersatu Johor.
Beliau juga pernah bekerja sebagai pembantu seni bina untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dari 1978 hingga 1990.



Ini cubaan kali kedua buat ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai itu bertanding untuk kerusi parlimen.
Pada PRU14, beliau bertanding di Pontian dan kalah tipis kepada Ahmad Maslan dari BN dengan majoriti 833 undi.
5. Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa)
Presiden Berjasa ini mengumumkan niatnya bertanding dalam PRK kali ini susulan keputusan BN meletakkan calon MCA berbanding Umno.



Jurutera kimia itu berkempen atas platform Melayu Islam, namun menafikannya sebagai perkauman, dengan memetik Pelembagaan Persekutuan yang katanya mempunyai peruntukan sama mengenai hak keistimewaan Melayu dan juga pengiktirafan bukan Melayu sebagai rakyat Malaysia.
Pada PRU lalu, beliau turut bertanding di Tanjung Piai di bawah tiket PAS dan berjaya memperoleh 2,962 undi.
6. Faridah Aryani Abdul Ghaffar (Bebas)
Faridah merupakan calon terakhir yang berjaya menghantar borang pencalonan semalam dan merupakan satu lagi kejutan dalam PRK ini.
Meskipun pada mulanya tidak banyak maklumat tentang wanita berusia 45 tahun itu, kemudian diketahui bahawa dia merupakan calon pengganti saat akhir yang mewakili kumpulan teksi, Gabungan Teksi SeMalaysia.



Dia menggantikan pengasas Big Blue Taxi, Shamsubahrin Ismail yang dimasukkan ke hospital kerana masalah jantung.
Faridah memaklumkan dia bertanding bagi memperjuangkan nasib golongan B40.
Dia menggunakan logo kereta untuk PRK kali ini.

Tiada ulasan: