Faiz Zainudin
PETALING JAYA: Hanya berbaki dua hari menjelang pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai, suhunya semakin panas apabila dua parti utama bertanding iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mempunyai peluang untuk menang.
Selain tumpuan siapa bakal menang kerusi Tanjung Piai, kesannya sudah tentu lebih terarah kepada PH jika calon PPBM tewas sebagai penyandang. Bagaimanapun penganalisis politik berbeza pandangan mengenainya.
Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata jika BN berjaya memenangi Tanjung Piai, ia sudah tentu akan menjadi referendum rakyat terhadap kerajaan, sementara dari sudut lain, ia dijadikan referendum bagi segelintir parti komponen PH terhadap pentadbiran Dr Mahathir Mohamad.
“Jika diandaikan keputusan Tanjung Piai adalah referendum terhafap PPBM dan kepimpinan Mahathir, maka sudah semestinya tewasnya calon PPBM akan melemahkan kepimpinan Mahathir dalam PH.
“Ini sekali gus akan memperkuatkan lagi kumpulan Anwar Ibrahim yang mahu meletakkan beliau sebagai perdana menteri dalam jangka masa dua tahun.
“…tekanan dari kumpulan Anwar sudah pasti akan menggunakan kekalahan PH di Tanjung Piai dengan menuding jari kelemahan Mahathir itu sendiri dan suasana sebegini boleh menjadi pemangkin menghala Mahathir perlu berundur dari jawatan perdana menteri,” katanya kepada FMT.
Azmi berkata kekalahan calon PPBM juga akan dijadikan referendum oleh rakan komponen PH sendiri bahawa gabungan itu mampu membentuk kerajaan tanpa PPBM.
“Ini adalah kerana sebelum ini ada tuduhan yang menjurus kepada PH boleh membentuk kerajaan tanpa PPBM dan bukan menjadi rahsia kemenangan calon PPBM pada PRU14 di Tanjung Piai adalah kerana pertolongan DAP melalui pengundi Cina terutama sekali di kawasan Pekan Nanas,” katanya.
Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, senada dengan Azmi dengan membayangkan masa depan politik Mahathir mungkin akan berakhir lebih cepat dengan pelbagai tekanan yang bakal diberikan rakan komponen PH, khususnya mereka tidak mahu lebih banyak sokongan Cina hilang jika pengerusi PPBM itu terus menerajui negara.
“Pasti ada desakan parti dalam PH sendiri supaya Mahathir cepat berundur untuk elak sokongan Cina semakin terjejas,” katanya.
Azman juga tidak menolak pergolakan di peringkat dalaman PPBM sendiri akan berlaku termasuk menerusi pemilihan parti itu nanti jika calonnya yang mewakili PH tewas.
“Sudah pasti ada pihak dalaman PPBM akan mempersoalkan kepimpinan Mahathir kerana sudah tentu ada yang mahu diasosiasikan dengan bakal perdana menteri baru Anwar Ibrahim,” katanya.
Bagaimanapun penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Kamarul Zaman Yusof mempunyai pendirian berbeza mengenai nasib Mahathir jika PH tewas di Tanjung Piai.
Katanya, kekalahan calon PPBM tidak akan memberi kesan kepada Mahathir termasuk melibatkan pemilihan parti itu.
“Jika PPBM tewas di Tanjung Piai sekalipun, ini dijangka tidak akan memberi kesan kepada pemilihan PPBM akan datang kerana majoriti ahli PPBM akan tetap setia dengan Mahathir, terlalu sukar untuk dibayangkan sesiapa sahaja boleh mencabar beliau.
“Malah kedudukan beliau mungkin akan lebih kukuh,” katanya ketika ditanya mengenai keputusan di Tanjung Piai akan memberi kesan pada pemilihan PPBM yang akan diadakan nanti.
Mengulas tekanan yang bakal diberikan penyokong Anwar kepada Mahathir supaya berundur, Kamarul Zaman tidak menolak perkara itu daripada berlaku.
“Pasti tekanan daripada kumpulan yang mahukan peralihan kuasa kepada Anwar dipercepat jadi lebih kuat, begitupun ia tidak akan berhasil kerana kekalahan tidak boleh dikatakan berpunca daripada Mahathir kerana calon PKR juga tewas di Rantau sebelum ini,” katanya.
Kempen PRK itu bermula 2 Nov lalu, manakala hari pengundian adalah pada 16 Nov ini. Kerusi Parlimen Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi yang terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan pengundi tidak hadir luar negara.
Dalam PRU14, PH menerusi calon PPBM memenangi kerusi itu dengan kelebihan 500 undi, di mana jumlah penggundi antara Melayu dan bukan Melayu seimbang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan