"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PH, penyokong Mahathir buat taklimat jelaskan situasi politik

Kow Gah Chie

Pakatan Harapan dan peyokong Dr Mahathir Mohamad dalam Bersatu akan mengadakan sesi taklimat di seluruh negara untuk menjelaskan berhubung situasi politik baru-baru ini.

Parti-parti pembangkang akan menjelaskan kepada akar umbi dan penyokong mereka sambil menggesa sidang Dewan Rakyat disegerakan untuk melihat pihak yang memegang sokongan majoriti.

Parti komponen PH dan pemimpin tertinggi mereka dilihat tidak banyak membuat kenyataan terbuka sementara menunggu persidangan parlimen.

Media tidak dimaklumkan mengenai sebarang program atau pertemuan mereka sejak Ahad lalu, selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Bercakap dengan Malaysiakini, parti komponen PH berkata mereka sedang mengadakan taklimat di seluruh negara untuk menerangkan kejadian baru-baru ini kepada penyokong mereka.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Ulya Aqamah Husamudin berkata pihak yang menyokong Mahathir dalam Bersatu akan melakukan perkara yang sama.

"Ia adalah acara tertutup dan dia menjelaskan apa yang telah berlaku," katanya.

Beliau berkata sayap pemuda akan menganjurkan taklimat di Kedah.

Dr Mahathir Mohamad bertemu dengan pemimpin bahagian Bersatu di ibu negara semalam untuk menjelaskan apa yang telah berlaku, katanya.

Sementara itu, Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata DAP akan mengadakan taklimat di Johor esok dan setiausaha agung parti akan hadir.

"(Taklimat) ini diperlukan untuk menjelaskan apa yang berlaku dan memotivasi mereka (anggota akar umbi dan penyokong)," katanya.

Bendahari PKR Lee Chean Chung berkata parti itu kini menerangkan kepada akar umbi melalui media sosial dan mengadakan taklimat melalui inisiatif sendiri.

"Kami akan menerangkan apa yang berlaku dalam tempoh satu minggu lalu kerana beberapa ahli masih keliru tentang apa yang berlaku.

"Kami juga akan menyampaikan bahawa kami memegang teguh pendirian kami dalam menegakkan politik berbilang kaum," kata Adun Semambu itu.

"Dalam kes saya, saya lakukan di kerusi Parlimen Indera Mahkota yang dipegang oleh 'pengkhianat' Saifuddin Abdullah," kata Lee.

Saifuddin, yang merupakan setiausaha agung PH meninggalkan PKR bersama kumpulan Mohamed Azmin Ali, dalam gerakan untuk mengangkat Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tiada ulasan: