"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PN DIJANGKA AKAN BERPECAH SEBAIK SAJA MENTERI2 MULA DILANTIK

Shahbudin Husin
Tidak dinafikan kerajaan Perikatan Nasional atau PN yang baru mengangkat sumpah Ahad lalu adalah kerajaan paling rapuh dan boleh tumbang serta berkecai bila-bila masa saja daripada sekarang.

Berikutan kedudukan majoritinya di Parlimen masih lagi kabur, kedudukan Muhyiddin Yassin hampir pasti akan ditentukan dalam sidang Parlimen yang sepatutnya diadakan pada 9 Mac ini.

Sekiranya Muhyiddin gagal menarik sokongan melebihi 112 Ahli Parlimen terhadapnya sehingga 9 Mac ini, pilihan yang ada baginya ialah menangguhkan dahulu sidang Parlimen itu.

Oleh kerana sidang Parlimen terakhir diadakan ialah pada 5 Disember 2019 lalu, Muhyiddin hanya ada tempoh untuk menangguhkannya sehingga 5 Jun iaitu selama enam bulan daripada kali terakhir Parlimen bersidang.

Mahu tidak mahu, dalam tempoh sebelum Jun akan datang, melalui kuasa dan kedudukannya sebagai Perdana Menteri, Muhyiddin mesti berusaha sedaya upaya menambah sokongan Ahli Parlimen terhadapnya, tidak kira sama ada melalui tawaran jawatan, kedudukan, projek atau habuan wang tunai barang dua tiga beg.

Sebaik saja cukup sokongan terhadapnya, itulah masa yang terbaik untuk Muhyiddin memanggil sidang Parlimen bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan.

Jika gagal juga, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan berakhir melalui usul undi tidak percaya yang akan dibawa oleh PH serta pasti disokong oleh Tun Mahathir Mohamad dan beberapa kelompok Ahli Parlimen lain yang tidak setuju dengan pengkhianatan yang dilakukan oleh Presiden Bersatu itu.

Kalau Muhyiddin gagal mempertahankan jawatannya dalam sidang Parlimen yang mesti diadakan selewat-lewatnya Jun nanti, bukan saja beliau akan menjadi Perdana Menteri paling singkat memegang jawatan, bahkan PN juga akan menjadi kerajaan paling pendek dalam sejarah negara ini.

Kerapuhan lain yang tidak mustahil menyebabkan PN boleh berkecai ialah apabila lantikan menteri-menteri kabinet dilakukan oleh Muhyiddin.

Sebagaimana yang kita sedia maklum, selain UMNO yang merupakan blok terbesar dengan 38 Ahli Parlimen yang sudah pasti akan menuntut jumlah menteri terbanyak, Pas yang mempunyai 18 kerusi Parlimen juga tentu tidak akan berserah atau redha begitu saja dalam soal jawatan kabinet ini.

Perlantikan itu nanti boleh saja membuatkan ada yang berkecil hati dan tidak puas hati, apabila jika mereka itu berjawatan lebih kanan dalam parti.

Selain jawatan menteri, jawatan yang turut dituntut oleh UMNO ialah Timbalan Perdana Menteri.

Soalnya, siapakah Timbalan Perdana Menteri yang akan dilantik oleh Muhyiddin?

Adakah beliau akan melantik pemimpin-pemimpin yang ada jawatan kanan dalam UMNO atau akan melantik Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin yang tidak berada dalam hireaki parti?

Oleh kerana pemimpin-pemimpin UMNO adalah ibarat harimau lapar sejak kehilangan kuasa pada Mei 2018 lalu, mereka kini dalam kedudukan begitu pelahap kepada jawatan dan sesiapa juga yang dilantik sebagai menteri atau Timbalan Perdana Menteri, pihak yang tidak puas hati sentiasa ada alasan untuk melalak dan memberontak.

Akhirnya, perebutan jawatan dan dengki sesama sendiri itu tidak mustahil membuatkan Muhyiddin sendiri terpelanting daripada jawatannya.

Dalam Bersatu pula terbahagia kepada tiga kumpulan – Ahli Parlimen asal Bersatu, Ahli Parlimen UMNO yang melompat menyertai Bersatu seramai 13 orang dan kumpulan Azmin Ali yang baru-baru ini mengumumkan menyertai Bersatu berjumlah 10 orang.

Dalam ketiga-tiga kumpulan itu terdapat di antaranya bekas-bekas menteri dan mereka yang masih bernafsu besar untuk kembali semula sebagai menteri.

Untuk melantik semua bekas menteri daripada ketiga-tiga kumpulan itu sebagai menteri memang ternampak mustahil kerana jawatannya begitu terhad, selain perlu berbahagi dengan UMNO, Pas dan GPS di Sarawak.

Jika ada yang tercicir daripada dilantik sebagai menteri, apabila pernah menjadi menteri di zaman PH atau mereka yang berasa telah memainkan peranan penting menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kemungkinan untuk mereka berasa kecil hati dan kembali menyokong PH atau Tun Mahathir adalah besar sekali.

Apalagi jika dengan beralihnya sokongan itu boleh menyebabkan PN tumbang dan mereka pula ditawarkan jawatan menteri oleh PH atau Tun Mahathir.

Yang pasti, bulan-bulan mendatang ini bukan saja menyaksikan kerapuhan kerajaan PH dan kedudukan Muhyiddin bila-bila masa saja boleh tumbang, tetapi juga menjadi tontotan kita semua di mana ada Ahli Parlimen menjadi bahan tawar-menawar umpama harga daging di pasar menjelang musim perayaan. (ShahbudinHusin 03/03/2020)

Tiada ulasan: