"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid persoal keikhlasan, kejujuran Muhyiddin dalam perkongsian?

Selepas mengumumkan akan membuat langkah besar dalam hala tuju politik susulan keputusan kes mahkamah Najib Razak, Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini terus berteka-teki mengenai tindakan yang bakal diambil parti berkenaan.

Menggunakan tanda pagar #Umnobangkit dalam cacatan di media sosialnya, anggota parlimen Bagan Datuk itu berkias mengenai aspek kejujuran dalam perhubungan dan perkongsian.

Untuk itu Ahmad Zahid yang kini berdepan lebih 40 pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah berbicara tentang keikhlasan.

"Untuk berkongsi hidup, apatah lagi berkongsi kuasa, keikhlasan dan kejujuran merupakan prinsip utama perkongsian.

"Apabila keikhlasan dan kejujuran diketepikan, sebarang perkongsian harus dinilai semula," kata Ahmad Zahid.

Kiasan itu dipercayai merujuk kepada kemungkinan Umno akan menilai semula sokongan dan kerjasama politik mereka dengan Bersatu yang kini membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Untuk rekod antara parti dalam PN boleh dianggap longgar ketika idea menjadikan entiti itu sebagai pertubuhan berdaftar masih belum kesampaian.

Faham perasaan, sentimen rakan

Pelbagai andaian berlegar dalam kalangan khalayak umum sejak semalam selepas Ahmad Zahid menegaskan cadangan Umno untuk membuat langkah besar.

Lebih menarik Ahmad Zahid juga meminta pihak yang berkenaan "berlapang dada" dengan keputusan yang akan dibuat Umno ekoran perkembangan kes Najib.

"Dan saya harap kita berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap apa juga keputusan yang akan dibuat oleh parti," katanya. 

Antaranya jangkaan pemerhati ialah kemungkinan Umno akan menarik diri daripada PN - dan memungkinkan runtuhnya kerajaan atau berlaku pembubaran parlimen - atau mengusahakan gabungan politik baru dengan parti lain.

Untuk rekod Umno sudah memeterai persefahaman bersama PAS untuk membentuk gabungan rasmi dikenali sebagai Muafakat Nasional.

Selepas Najib disabitkan bersalah atas tujuh tuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram semalam, pemimpin tertinggi PAS adalah antara orang yang muncul menemui ahli parlimen Pekan itu untuk menyatakan rasa simpati.

Malah Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya menggambarkan akhirnya Najib akan mendapat keadilan dalam proses rayuan selepas ini.

"PAS yakin Datuk Seri Najib akan memanfaatkan sepenuhnya peluang untuk mendapatkan keadilan di mahkamah ke peringkat seterusnya," kata Abdul Hadi dalam kenyataan dikeluarkan malam tadi.

Presiden Bersatu yang juga perdana menteri, Muhyiddin Yassin, pula menegaskan kerajaan PN akan sentiasa menegakkan prinsip kedaulatan undang-undang.

Kata Muhyiddin dia memahami perasaan dan sentimen rakan-rakan dalam PN terhadap keputusan mahkamah semalam.

Tiada ulasan: