"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Selamatkan Felda sebelum terlambat

Awang Azman Awang Pawi

Felda bermula sejak awal kemerdekaan apabila 616 peneroka perintis dalam Rancangan pertama terdapat di Lurah Bilut, Pahang.

Sehingga kini institusi ini telah membangunkan lebih 112, 635 peserta dalam 37 rancangan keluasan hampir 500 000 hektar. Felda pernah dibarisi tokoh-tokoh berwibawa seperti Tan Sri Taib Andak dan Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Muhammad Ali.

Nama-nama ini sinonim dengan tokoh institusi seperti Arshad Ayub dengan ITM (kini UITM) dalam memberikan sumbangan besar kepada masyarakat dan negara.

Felda mencapai zaman kegemilangan dengan khazanah tunai bernilai billion ringgit.

Bagaimanapun, dalam 10 tahun kebelakangan ini, sedikit demi sedikit pelbagai isu melanda organisasi ini lebih-lebih lagi selepas penyenaraian FGV di Bursa Malaysia serta pelaburan dalam sektor bukan perladangan.

Kesemua ini memberikan dampak negatif kepada peneroka dan prestasi kewangan. Hal ini menyebabkan kerajaan mengambil pendirian membentangkan kertas putih di parlimen.

Kertas putih

Apa yang dimaksudkan kertas putih ialah kerajaan mengemukakan laporan sesuatu secara khusus sebelum dilakukan penguatkuasaan undang-undang.

Apabila menerbitkan kertas putih ia cuba menilai reaksi pendapat awam dalam sesuatu isu, seterusnya membolehkan kerajaan mengukur impak dan kemungkinan kesannya terhadap institusi dan masyarakat yang peka terhadap sesuatu isu tersebut.

Dalam konteks Kertas Putih Felda, ia berupa dokumen terperinci yang dikemukakan bagi meneliti sesuatu isu yang diluluskan oleh kabinet dan kemudian dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum disebarkan kepada masyarakat awam.

Tujuannya ialah untuk memberikan kesedaran mengenai isu yang melanda negara dan mendapat perhatian rakyat dan juga di dewan rakyat bagi menggalakkan perbincangan yang sihat, penyebaran pengetahuan dan maklumat yang tepat serta memberikan perspektif yang menyeluruh.

Berdasarkan Kertas Putih Felda yang dikeluarkan, antara punca kejatuhan Felda adalah kelemahan dalam tadbir urus dan perancangan serta ketidakcekapan dalam pelaburan.

Felda turut dibelenggu dengan isu integriti dan akauntabiliti yang menjejaskan keseluruhan operasi sehingga menyebabkan Felda berada dalam kedudukan yang teruk dan perlu diselamatkan.

Baki tunai Felda dilaporkan jatuh menjunam apabila hanya tinggal sebanyak RM400 juta pada tahun 2017 daripada purata RM25 bilion sepanjang tempoh 2007 hingga 2011.

Malah dicatatkan baki aliran tunai terus corot sehingga RM35 juta pada Mei 2018.

Kesan daripada ini menyebabkan isu perbelanjaan operasi, bantuan, kos penanaman semula dan pinjaman untuk peneroka sukar untuk ditampung dan mendapat perhatian dalam laporan audit Negara sejak tahun 2016 apabila berlaku aliran defisit.

Audit forensik

Dalam audit forensik dikemukakan dalam Kertas Putih Felda, didapati konflik kepentingan dalam pengurusan dan operasi merupakan antara punca berlakunya pertentangan amalan terbaik dalam tadbir urus korporat serta mekanisme semak dan imbang.

Pelantikan orang yang sama sebagai pengerusi Lembaga Pengarah Felda dan pengerusi lembaga pengarah syarikat bersekutu Felda seperti FIC, FIC Properties Sdn Bhd dan FGV terdedah kepada konflik kepentingan.

Selain itu, jawatan yang disandangnya terlalu banyak, iaitu sekitar 20 anak syarikat dan syarikat kepentingan Felda.

Fokus tadbir urus menjadi terlalu luas dan menyebabkan boleh berlakunya konflik kepentingan dan salah laku tadbir urus kepada amalan dan etika kerja yang tidak berintergriti sebagaimana dilaporkan dalam Kertas Putih tersebut.

Laporan Kertas Putih juga telah mengenal pasti bahawa ketidakcekapan pengurusan korporat di bawah pengurusan Felda lama telah menyebabkan Felda kehilangan model perniagaan yang mapan.

Hal ini kerana pelaburan dalam sektor baru sangat memerlukan kepakaran individu dalam bidang tujahan tertentu bagi memastikan kepentingan institusi terpelihara. Kepakaran ini termasuklah dalam aspek penilaian aset, perundangan dan kewangan.

Laporan Kertas Putih juga menyatakan apabila “kegagalan Lembaga Pengarah dan pihak pengurusan menyediakan pasukan yang profesional dan berwibawa untuk membuat pelaburan berskala besar telah mendedahkan Felda kepada pelbagai risiko”.

Situasi ini telah menyebabkan Felda terdedah kepada kawalan dalaman yang lemah, kurang akauntabiliti dan integriti memberikan kesan dan mengakibatkan Felda mengalami kerugian besar, tinggi dan berterusan.

Isu ketidakpematuhan dasar dan prosedur pelaburan perolehan dan pembiayaan membawa kepada kerugian kepada institusi ini.

Antara yang ditemui dalam audit forensik ialah berlakunya ketirisan dalam proses perolehan dan pelaburan tanpa melaksanakan kajian due diligence dan kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

Bagaimanapun, ada juga pihak berurusan dengan syarikat pelaburan ini menyatakan pihak mereka telah mendapat kelulusan Lembaga Pengarah Felda.

Perkara yang lebih ketara apabila berlakunya pelaburan dan pemilikan aset yang tidak strategik.

Laporan Kertas putih telah menyenaraikan pembelian secara agresif dan tidak terkawal oleh Felda dan FIC telah mendatangkan pelbagai isu sehingga kini.

Isunya ialah apabila melabur dalam syarikat yang kurang strategik, sebahagian besar aset yang dibeli melebihi harga pasaran serta tidak memberi pulangan sewajarnya.

Ini termasuk enam teras pelaburan utama yang tidak menguntungkan dan 8 pembelian yang membawa kepada banyak kerugian termasuk lapan pembelian atau pelaburan aset (dikenali secara kolektif sebagai Projek-Projek) yang signifikan oleh Felda atau Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) seperti PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), Dataran Aras Sdn Bhd (DASB),Grand Borneo Hotel Sdn Bhd (GBHSB),Grand Plaza Serviced Apartments (GPSA), Felda Wellness Corporation Sdn Bhd (FWC) dan Park City Grand Plaza Kensington (GPK).

Impak buruk

Kesannya, ia memberikan kerugian pelaburan dan kemerosotan nilai aset Felda dan FIC yang dapat dilihat dalam Penyata Kewangan beraudit Felda bagi tahun berakhir 31 Disember 2017, kerugian atau kemerosotan nilai aset yang dihadapi adalah sekitar 50 peratus daripada nilai pelaburan asal yang berjumlah RM4.4 bilion, yang mencecah sebanyak RM2.2 bilion.

Dalam kes pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak (gambar, bawah), berjumlah RM160 juta oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB), ia jauh lebih mahal dari nilai semasa yang dianggarkan RM80 juta pada 2017.

Dilaporkan bahawa Jabatan Kewangan Felda tidak mengetahui pembelian MPHS oleh FICSB bernilai RM160 juta yang dikatakan sebenarnya tidak mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Baru-baru ini dilaporkan pula isu perjanjian 24 bidang tanah milik Felda di Jalan Semarak antara Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) dan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) yang mengakibatkan kepada kes yang berlarutan hingga membawa kepada prosiding timbang tara.

Sebelum ini, sudah dua prosiding mahkamah berasingan berhubung dua bidang tanah miliknya di Jalan Semarak dan perjanjian pembangunan untuk penyerahan pemilikan kosong 23 bidang tanah milik organisasi itu, di kawasan tersebut.

Kesemua ini berlaku apabila kegagalan tadbir urus hingga menyebabkan pertelingkahan bukan sahaja menjejaskan reputasi Felda, akan tetapi merugikan peneroka, masyarakat dan negara dari segi jangka panjang dan mengakibatkan isu integriti tercalar.

Kesemua ini melibatkan kepimpanan secara langsung di peringkat kerajaan dan pengurusan tertinggi.

Sudah tibanya pihak kerajaan tanpa mengira parti yang menjadi pemerintah melihat, meneliti dan bertindak dan campur tangan dalam isu seumpama ini yang berkaitan Felda bagi memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan.

Segala isu berkaitan perlu ditangani dengan akauntabiliti, telus, dan perlukan maklumat yang objektif untuk menangani kepincangan terdahulu demi membina masa depan yang lebih baik untuk Felda dan negara.

Tiada ulasan: