"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS patut sedar bagaimana ia dilayan dalam PN

Abdul Rahim Hilmi Zakariya

Tak betul jika ada segelintir yang menyalahkan Umno apabila PAS tidak diberikan sebarang kerusi dalam PRN Sabah.

1. Rundingan awal berlaku antara Umno yang mewakili Barisan Nasional dan PPBM yang mewakili Perikatan Nasional. Hasil rundingan itulah yang dibawa ke gabungan parti masing-masing untuk diagihkan kepada parti komponen. Disebabkan PAS sebahagian daripada PN, kedudukan parti tersebut tertakluk kepada perbincangan dalaman gabungan tersebut.

2. Kebanyakan kerusi yang diintai oleh PAS sebenarnya ditandingi oleh PPBM. Sebagai contoh kerusi DUN Merotai yang asalnya kawasan tradisi BN kini ditandingi parti tersebut. DUN ini antara kerusi berpotensi PAS kerana mereka berjaya memperoleh lebih 1,200 undi pada pilihan raya umum ke-14.

3. Alasan PAS tidak sesuai dengan sentimen tempatan sepertimana kenyataan pemimpin PN Sabah adalah sesuatu yang tak logik. PAS memperoleh lebih 13,000 undi popular pada PRU-14 di negeri tersebut berbanding SAPP yang hanya memperoleh 6,000 undi popular. Tetapi SAPP diberikan 2 kerusi oleh PN.

4. Ketamakan PPBM ini akan mengundang padah besar kepada sentimen pengundi Semenanjung. Betul, PAS kurang popular di Malaysia Timur dengan hanya memperoleh 24,000 undi di Sabah dan Sarawak pada PRU-14. Tetapi parti ini juga memperoleh 1.98 juta undi di seluruh Semenanjung – lebih daripada cukup untuk membunuh terus hayat PPBM.

5. Bayangkan sehingga ke saat akhir pun, parti tersebut sebenarnya masih mahu membolot lagi tambahan beberapa kerusi. Mujurlah Bung Moktar Radin lebih awal mengisytiharkan kedudukan kerusi yang akan ditandingi BN bagi mengelakkan pertelagahan lanjut.

6. Apa yang berlaku ini sepatutnya sudah menjadi “wake up call” kepada PAS tentang bagaimana mereka dilayan dalam gabungan baru. Sedangkan berdasarkan kekuatan semasa, PAS adalah parti yang sepatutnya mengetuai PN sepertimana Umno memandu BN.

7. Jika sekiranya PPBM pada saat akhir pun masih enggan menyantuni kehendak kecil PAS Sabah, maka PAS perlu menilai semula kedudukan dan nilai mereka dalam Perikatan Nasional. Sebuah parti berpengalaman tidak sepatutnya duduk lebih rendah daripada sebuah parti setahun jagung seperti PPBM.

8. Saya serius.

Tiada ulasan: