"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cukuplah abah, anak-anak derita' - Warkah pakar KKM kepada PM

Dr Tachdjian

Semasa saya menulis warkah ini - terdapat 400 pesakit positif Covid-19 di Hospital Queen Elizabeth, hospital rujukan tertiari Sabah di Kota Kinabalu termasuk merawat Ketua Menteri Sabah (Hajiji Mohd Noor).

Semua pesakit bukan Covid-19 yang tidak mempunyai penyakit yang mengancam nyawa tidak diterima untuk menyalurkan semua sumber bagi menangani Covid-19.

Bahkan ujian makmal rutin biasa telah dikurangkan untuk membolehkan lebih banyak ujian untuk Covid-19.

Pekerja penjagaan kesihatan letih dan kepenatan. Sumber seperti PPE dan peralatan penting lain hampir habis. Kakitangan dipanggil untuk bertugas di jabatan lain kerana ramai daripada mereka dikuarantin.

Kerja keras selama berbulan-bulan sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama telah dipandang sambil lewa dan diketepikan! Kita telah mencapai jumlah kes pecah rekod berjumlah 691 pada 6 Oktober 2020.

Pada masa ini terdapat 3439 kes positif di Malaysia, di mana 1901 (55 peratus) - lebih daripada separuh berasal dari Sabah.

Dari 1 September 2020 ke 10 Oktober 2020, Sabah mempunyai 3423 kes - ini mengejutkan kerana ia bersamaan dengan 22 peratus daripada 15,096 kes yang direkodkan Malaysia sejak awal!

Terdapat 21 kematian yang merupakan 13.5 peratus daripada jumlah 152 kematian setakat ini.

Sedarlah wahai Perdana Menteri Muhiyiddin Yassin yang dikasihi - anda ialah seorang "abah" yang mahu "merotan" rakyatnya kerana berkelakuan buruk dan tidak mematuhi SOP.

Anda gagal menyedari bahawa fakta menyedihkan mengenai gelombang baru Covid-19 yang disenaraikan di atas bukan disebabkan oleh Covid-19, tetapi kegagalan pentadbiran anda untuk mengutamakan kesihatan rakyat di atas segalanya.

Dengan mengabaikan nasihat daripada Kementerian Kesihatan dan membiarkan pilihan raya negeri berlangsung, kempen tanpa kawalan oleh jentera yang terlalu bersemangat (pada semua parti yang bertanding) - ini telah menyebabkan penderitaan ramai orang pada hari ini.

Faktanya bahawa ketua menteri sendiri telah dijangkiti menunjukkan sejauh mana menularnya virus itu.

Menteri dan banyak pegawai atasan lain yang tidak mengikuti SOP dan dilepaskan adalah punca sebenar berlakunya peningkatan kes yang mendadak ini. 

Kelewatan dalam melaksanakan perintah penutupan pula ibarat 'luka disirami garam' - memperburuk keadaan yang sudah teruk.

Sedar dan lihatlah bahawa ramai orang tidak akan menganggap anda sebagai "Abah" - kerana anda didakwa telah membiarkan "anak-anak anda" menderita dengan menyebabkan gelombang baru wabak ini dan menambah buruk keadaan dengan mengamalkan pilih kasih melalui hukuman selektif terhadap mereka yang tidak mematuhi SOP.

Seret VIP (orang kenamaan) yang menjadi penyebab gelombang Covid-19 ini dan singkirkan mereka daripada jawatan.

Mereka telah membawa lebih banyak penderitaan kepada orang-orang yang memilih mereka untuk berkuasa. Ini penyelewengan kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada mereka.

Kematian yang berlaku akibat gelombang baru Covid-19 ini berkaitan secara langsung dengan mereka semua dan mereka mesti bertanggungjawab! Cukuplah bercakap.

Tinggalkan kiasan anda dan perutusan rasmi, bertindak pantas. Kami letih dengan ucapan panjang lebar yang tidak mempunyai isi yang nyata selain dijadikan sindiran di internet dan jenaka media sosial. 

Jumlah masa dan sumber daya yang digunakan oleh "perutusan khas" anda dapat disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk digunakan dengan lebih baik lagi.

Ambil tindakan sebenar.

Sedar akan kesalahan dan kegagalan serta betulkan dengan segera. Salurkan sumber ke Sabah dengan secepatnya.

Ketua menteri Sabah kini dirawat di wad di Hospital Queen Elizabeth tetapi seperti semua VIP lain, tidak perlu berbaring di jabatan kecemasan menunggu tempat tidur di wad.

Terdapat kekurangan rasa empati dan tindakan sebenar daripada pentadbiran tertinggi negara, yang mengakibatkan ketidakpedulian terhadap keadaan sebenarnya di lapangan.

Segera, bekalkan PPE yang mencukupi untuk bertahan sehingga akhir tahun - banyak pusat di Sabah akan kehabisan PPE tidak lama lagi dan kita akan melihat keadaan PPE DIY yang pernah terjadi jika ini tidak dilakukan.

Sistem pengedaran PPE terpusat yang diselaraskan perlu menggantikan sistem semasa yang perlahan dan tidak telus.

Elaun Covid-19 untuk pekerja penjagaan kesihatan di barisan hadapan perlu diberikan sepanjang tempoh ini dan bukan beberapa bulan selepas itu.

Banyak pengorbanan yang dibuat, ibu bapa kepada bayi yang baru lahir terpaksa bekerja; cuti tahunan telah dibekukan; ramai yang bekerja lebih masa dengan mengurangkan tidur dan rehat.

Arahkan sektor swasta untuk membantu dalam pengurusan kes Covid-19 dan membayar balik dengan dana yang diperlukan. 

Jika perlu, gunakan dana kecemasan - apakah penderitaan "anak-anak abah" tidak dapat menggerakkan hati anda?

Menteri Pertahanan (Ismail Sabri Yaakob) telah mengumumkan majlis perkahwinan yang dihadiri tetamu lebih 250 orang dibenarkan dengan menunjukkan kad jemputan perkahwinan (pada sekatan jalan). 

Ini benar-benar tidak masuk akal dan bodoh.

Apa gunanya mendapat perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) manakala perhimpunan sebegitu masih dibenarkan? 

Tolong gunakan akal sihat semasa melaksanakan SOP - dengarkan nasihat Kementerian Kesihatan daripada mendorong mereka dan memujuk mereka untuk melakukan sebaliknya.

Jangan putus asa

Kepada rakyat - sama ada di Sabah atau di manapun, saya menggesa anda untuk mengamalkan SOP seketat mungkin. Jangan mematuhi SOP yang tidak masuk akal - perkahwinan boleh ditunda ke kemudian hari; perhimpunan besar tidak boleh diadakan sehingga kita dapat mengawal keadaan.

Sudah sampai waktunya untuk bangkit dan memutuskan bagaimana kelangsungan hidup "keluarga" perlu diteruskan kerana "abah" kita seakan tidak mampu.

Berikan sokongan anda kepada mereka yang berada di barisan hadapan - sama ada dalam bentuk wang, makanan, atau alat bantuan lain. Mereka yang diberkati kerana lebih berada perlu membantu golongan yang serba kekurangan.

Kepada mereka yang berada di barisan hadapan - jangan berputus asa. Seluruh rakyat negara ini berada di belakang anda dan menyokong anda, beberapa melalui bantuan material dan yang lain bila-bila yang boleh memanjatkan doa.

Kebodohan individu tertentu mungkin telah mensia-siakan usaha beberapa bulan yang lalu dan membuang semua masa dan tenaga anda; tetapi Malaysia lebih memerlukan anda sekarang. 

Semoga Tuhan memberi anda kekuatan, kesabaran dan ketabahan melalui saat-saat ini. Sama-samalah kita berdoa.

DR TACHDIJAN ialah nama samaran. Penulis ialah seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan.

Tiada ulasan: