"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kecualikan Khairuddin cemar imej Putrajaya, kata penganalisis

Minderjeet Kaur

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik memberi amaran bahawa bahaya menanti imej kerajaan berikutan keputusan “tiada tindakan lagi” (NFA) terhadap menteri yang ingkar perintah kuarantin wajib.

Azizuddin Mohd Sani dari Universiti Utara Malaysia dan Jeniri Amir daripada Majlis Profesor Negara memberitahu FMT bahawa mereka percaya orang ramai dapat melihat tindakan dwi standard dalam menghukum rakyat biasa atas kesalahan dan mengecualikan ahli politik yang berkuasa atas kesalahan sama.

Mereka mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tidak akan mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, yang dikompaun selepas melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Khairuddin, ahli PAS, tidak menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas pulang dari Turki pada Julai. AGC berkata, ini memandangkan tiada keterangan kukuh bagi mengasaskan pertuduhan, selepas didapati tiada borang arahan kuarantin diserahkan kepada Khairuddin.

Azizuddin berkata, keputusan itu bukan sahaja akan menjejaskan imej gabungan pemerintah, tetapi juga PAS.

“Mereka cakap pasal Islam dan ajaran Islam, tetapi orang mungkin akan rasa PAS, yang kini berkuasa, tidak lagi ikut ajaran Nabi,” katanya.

Beliau berkata, garis panduan Islam dalam menangani wabak berbalik kepada zaman Nabi, apabila orang ramai diberitahu supaya mengikuti prosedur kuarantin dan juga mematuhi larangan lain, sekiranya ada penularan penyakit.

Sementara itu Jeniri berkata, orang ramai akan melihat perkara itu sebagai contoh kecenderungan kerajaan untuk bersikap dwi standard.

“Mereka akan fikir ada 1 peraturan untuk golongan elit dan 1 untuk rakyat,” katanya. “Ini tidak baik bagi kerajaan.”

Katanya, kerajaan perlu dilihat konsisten dan adil dengan keputusannya.

Beliau juga berkata, kerajaan kelihatan tidak sedar bahawa masyarakat kini celik politik dan akan memantau tindak-tanduknya dan juga parti politik.

“Sekiranya kerajaan dilihat berat sebelah, orang ramai akan hilang rasa hormat kepada ahli politik dan menteri,” tambahnya.

Tiada ulasan: